Wednesday, January 20, 2016

TAMAT TEMA 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

TAMAT
TEMA 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

USAHA BISMARCK MENYATUPADUKAN BANGSA JERMAN SELEPAS TAHUN 1871

USAHA BISMARCK MENYATUPADUKAN BANGSA JERMAN SELEPAS TAHUN 1871 

Pendahuluan 

Bismarck dilahirkan pada 1 April 1815 di Brandenburg, Prusia dalam kalangan keluarga bangsawan. Beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di Jabatan Perkhidmatan Awam Prusia. Bismarck dipilih menjadi wakil dalam Parlimen yang dikenali sebagai Diet Bersatu oleh Raja Frederick William IV pada tahun 1847. Pada tahun 1895, beliau dihantar ke Rusia sebagai duta Prusia dan seterusnya beliau pernah berkhidmat sebagai duta ke Paris. 

Pada tahun 1862, Raja William I telah melantik Bismarck sebagai Ketua Menteri Prusia. Setelah menjadi ketua menteri Prusia, beliau menggunakan dasar “darah dan besi” untuk menyatukan Jerman. Beliau menyatukan negara Jerman melalui dua peringkat. Pada peringkat pertama (1864-1870) beliau berperang dengan Denmark, Austria dan Perancis untuk menyatukan negeri-negeri Jerman di bawah Prusia. Selepas menyatukan Jerman secara fizikal, Bismarck melancarkan peringkat kedua rancangan penyatuan Jerman bagi menyatukan rakyat Jerman supaya menjadi sebuah negara yang bersatu padu. 

Usaha-usaha Bismark Untuk Penyatuan Penduduk Berbangsa Jerman. 

1. Menyekat pengaruh gereja Semasa pemerintahannya, Bismarck telah menghadapi masalah dengan gereja Roman Katolik di Jerman. Paderi-paderi Roman Katolik ingin berkuasa semula dan mereka menyeru jajahan di Jerman menuntut lebih kebebasan daripada Kaiser. Dalam pada itu, Paus mula bertindak untuk mempengaruhi Jerman dalam hal ehwal politiknya. Bismarck bimbang kebangkitan gereja Roman Katolik akan memecahkan perpaduan dalam negeri Jerman. Bagi mencegah perkembangan semula kuasa gereja, Bismarck memulakan pergerakan anti-gereja yang dikenali sebagai Kulturkampf pada tahun 1872. Beliau meluluskan siri undang-undang yang dikenali sebagai Undang-Undang Mei bagi mengawal sekolah-sekolah agama Katolik dan pegawai tinggi gereja.

 2. Memulihkan Keamanan di Jerman dan Eropah Bismarck telah mengambil langkah bagi mewujudkan keamanan dalam dan luar negara bagi membangunkan negara Jerman. Bismarck mengamalkan dasar berhati-hati dalam menjalinkan persahabatan dengan negara­-negara lain di Eropah. Beliau bimbang Perancis yang telah kehilangan banyak jajahannya kepada Jerman pada tahun 1871 akan menyerang Jerman. Pada tahun 1882, Bismarck mengadakan perikatan dengan Austria dan Itali yang dikenali sebagai Perikatan Bertiga. Melalui Perikatan ini, beliau berharap negara-negara lain terutamanya Perancis tidak akan memulakan peperangan dengan Jerman. 

3. Perlembagaan Jerman Langkah seterus yang diambil oleh Bismarck untuk mengukuhkan penyatuan Jerman adalah dengan memperkenalkan perlembagaan umum bagi seluruh Jerman. Perlembagaan Jerman memperuntukkan kuasa bagi penubuhan sebuah Parlimen yang terdiri daripada Majils Persekutuan (Bundestrat) dan Diet Maharaja (Reichstag). Majlis Persekutuan terdiri daripada wakil-wakil yang dilantik dan semua negeri di Jerman manakala Diet Maharaja mengandungi 400 ahli yang dipilih oleh rakyat Jerman. Diet Maharaja mempunyai kuasa yang amat terhad dalam meluluskan sesuatu undang-undang. Manakala Majlis Persekutuan, Canselor dan Kaiser mempunyai kuasa membatalkan sebarang keputusan yang dibuat oleh Diet Maharaja. Perlembagaan mi memberikan kuasa kepada Bismarck untuk mengukuhkan penyatuan negara Jerman. 

4. Menyeragamkan Sistem Ekonomi Langkah seterus yang diambil oleh Bismarck untuk mengukuhkan penyatuan Jerman adalah memperkenalkan sistem ekonomi yang cekap. Beliau mengambil Iangkah-langkah untuk memperkenalkan sistem percukaian, mata wang serta sistem sukatan dan timbangan yang seragam di seluruh negara Jerman. Beliau turut menyatukan perkhidmatan pos dan telegraf di seluruh Jerman. Selain itu, beliau juga menyediakan sistem perhubungan yang lebih baik dengan membina jalan raya yang Iebih baik. Beliau juga membina rangkaian jalan kereta api yang menghubungkan seluruh wilayah di negara Jerman. 

5. Membangunkan Sektor Perindustrian Bismarck turut mengambil langkah menjadikan negara Jerman sebagai negara perindustrian yang kaya. Beliau mengambil langkah untuk memastikan kekayaan sumber asli di negara Jerman seperti arang batu, besi, potasium dan ligmit digunakan dengan cekap dan mahir. Beliau juga menubuhkan pertubuhan yang dikenali sebagai Kartil untuk menyelaraskan pertumbuhan industri di Jerman. 

6. Memajukan Sektor Pertanian dan Perdagangan Bismarck turut mengambil langkah-langkah untuk membangunkan sektor pertanian dan perdagangan di Jerman. Bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, baja-baja murah dikeluarkan oleh industri di Jerman. Dalam bidang perdagangan, beliau memperkenalkan undang-undang tarif pada tahun 1879 bagi menyekat kemasukan barang-barang dan negara luar seperti Britain dan Perancis. Undang-undang tarif bertujuan untuk menyelamatkan pedagang dan petani Jerman yang tidak dapat bersaing dengan barang-barang yang dikeluarkan oleh negara-negara lain seperti Britain, Perancis, Rusia dan Amerika.            

 7. Pemulihan Sosial Bismarck juga memperkenalkan rancangan-rancangan sosial bagi merapatkan jurang antara golongan yang kaya dengan golongan miskin. Bismarck bertindak membaiki nasib golongan pekerja di kilang-kilang baru dengan mengadakan undang-undang bagi membaiki taraf hidup mereka. Pada tahun 1885, Bismarck memperkenalkan Undang-Undang Insuran Sakit untuk membantu pekerja-pekerja mendapat kemudahan perubatan percuma dan gaji jika mereka sakit. 

Selain itu, beliau juga meluluskan satu lagi undang-undang untuk melindungi pekerja yang cedera semasa bekerja. Menerusi undang-undang ini, majikan terpaksa membayar penuh kos perubatan pekerja yang cedera semasa bekerja. Pada tahun 1889, Undang-Undang Insuran Masa Tua telah diluluskan. Pekerja-pekerja menyumbangkan sebahagian gaji mereka kepada tabungan wang ini dan boleh mengeluarkannya apabila mereka bersara. Menerusi rancangan-rancangan sosial ini beliau berjaya menyatukan negara Jerman dengan mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan penduduk Jerman. 

Kesimpulan

 Bismarck merupakan tokoh yang amat berjasa dan bertanggungjawab dalam pembentukan negara Jerman. Beliau bertanggungjawab menyatukan negeri-negeri kecil yang berasingan menjadi sebuah negara yang kuat dan bersatu di benua Eropah. Beliau membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Jerman menerusi kejayaan yang dicapai dalam medan peperangan. Selain itu, melalui dasar politik, sosial, ekonomi dan pentadbiran, beliau menjadikan Jerman sebuah negara yang kuat dan berpengaruh di Eropah. 

SUMBANGAN MAZZINI DALAM MENYATUKAN ITALY


SUMBANGAN MAZZINI DALAM MENYATUKAN ITALY



 Mazzini merupakan tokoh nasionalis yang memperjuangkan penyatuan Itali menerusi pemberontakan yang dilihat bertentangan dengan pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Piedmont. Beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Piedmont menyertai Peperangan Crimea. Malah, beliau tidak merestui perikatan antara kerajaan Piedmont dengan Perancis pada tahun 1859. Menurut Mazzini, usaha ke arah penyatuan Itali harus dilakukan oleh bangsa Itali sendiri tanpa melibatkan bantuan dan campur tangan bangsa lain. 

Beliau berpendapat matlamat utama penyatuan Itali ialah penubuhan negara republik. Mazzini tidak bersetuju dengan pendekatan diplomatik yang digunakan oleh Cavour untuk menyatukan Itali antara tahun 1860-1861. Terdapat beberapa sumbangan yang diberikan oleh Mazzini bagi menyatukan Itali antaranya ialah: a. Idea penyatuan Itali oleh Mazzini Selain seorang pejuang, beliau juga merupakan seorang penulis yang berkaliber dan merupakan tokoh nasionalis yang telah memberikan kesedaran serta galakan kepada rakyat Itali tentang penyatuan Itali. Mazzini merupakan tokoh yang terawal menyebarkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan rakyat Itali. Beliau juga bergiat secara aktif menerusi kegiatan politik untuk menyatukan Itali. 

Beliau mempopularkan idea-idea seperti menyatukan Itali ke arah pembentukan sebuah negara republik, menggulingkan pemerintahan asing dari bumi Itali, menubuhkan pertubuhan-pertubuhan untuk mencapai matlamat mereka, dan usaha penyatuan harus dilakukan oleh rakyat Itali sendiri. b. Menubuhkan pertubuhan Kegagalan revolusi yang dilancarkan pada tahun 1820-1821 dan 1830 menyedarkan Mazzini tentang keperluan menubuhkan pertubuhan bersifat nasional yang mendapat sokongan meluas daripada rakyat. Beliau menyebarkan masalah yang dihadapi oleh Itali untuk pengetahuan masyarakat antarabangsa. Mazzini juga meyakinkan rakyat tentang keperluan untuk menyelaraskan perjuangan menentang Austria. 

Pada tahun 1831, Mazzini menubuhkan pertubuhan “Young Italy”. Pertubuhan ini merupakan pertubuhan nasional yang mempunyai ahli-ahli dari seluruh Itali. Pada tahun 1834, beliau mengasaskan pertubuhan “Young Europe” di England. Pertubuhan-pertubuhan ini memainkan peranan dalam membangkitkan kesedaran kebangsaan dalam kalangan rakyat Itali. c. Melancarkan pemberontakan Mazzini merupakan tokoh nasionalis yang merancang dan memimpin pemberontakan menentang kuasa-kuasa asing di bumi Itali. 

Pada tahun 1833, beliau merancang serangan terhadap wilayah Savoy dari Switzerland dan terlibat dalam pemberontakan di Coseuza pada tahun 1843. Pada tahun 1857, Mazzini merancang pemberontakan di Genoa dan Leghorn dari England. Walaupun pemberontakan-pemberontakan tersebut menemui kegagalan, namun ia telah menyemai perpaduan dan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.

SISTEM PEMBESAR DI RUSIA

SISTEM PEMBESAR DI RUSIA 

Pendahuluan. 


Golongan pembesar merupakan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan. Tujuan pelantikan golongan pembesar untuk membantu raja atau maharaja dalam bidang pemerintahan yang merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Mengikut Kamus Dewan pula golongan pembesar bolehlah ditakrifkan sebagai orang yang berpangkat tinggi dalam kerajaan. Dalam sistem pemerintahan raja atau maharaja, kedudukan pembesar sangat penting dan berada di lapisan kedua selepas kedudukan raja atau maharaja. Institusi pemerintahan di Russia memperlihatkan raja atau maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan atau sokongan institusi pembesar. 

 Bagi memastikan golongan pembesar sentiasa taat setia kepada raja atau maharaja dan mengawasi tindak tanduk pembesar maka satu badan pemantau telah diwujudkan oleh raja atau maharaja. Jika seseorang pembesar gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan baik, raja atau maharaja mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatannya dan digantikan dengan pembesar lain yang lebih berwibawa dan dipercayai. Kuat atau lemah sesebuah kerajaan atau raja atau maharaja adalah bergantung kepada golongan pembesar yang  dipilih dan dilantik oleh raja atau maharaja. Sebab itulah golongan pembesar diibaratkan sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan dalam sesebuah kerajaan. Sistem pembesar yang diamalkan di negara Rusia boleh dibahagi kepada beberapa peringkat iaitu pembesar diperingkat pusat, pembesar peringkat daerah atau wilayah dan pembesar peringkat kampung. Bidang tugas mereka hampir sama tetapi kedudukan serta kuasa mereka yang membezakan di antara golongan pembesar. 

Sistem Pembesar Di Rusia Sistem pembesar di Rusia berbeza dengan negara China. Semasa era pemerintahan Moscow dan Dinasti Ramanov sistem pembesarnya terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat daerah dan peringkat kampung. Pentabiran Di Peringkat Pusat. Di peringkat pusat, sistem pemerintahan pembesar melalui Majlis Penasihat Tertinggi (Duma), Majlis Penasihat (Zemskii Sabor) dan jabatan kerajaan (Prikazi). Duma dianggotai oleh golongan bangsawan paling kanan dan bertanggungjawab menyelaras hal ehwal pemerintahan, mengubal dan meluluskan dasar kerajaan, dan sistem kehakiman. Walaubagaimanapun raja masih lagi berkuasa untuk membuat keputusannya. Zemskii Sabor pula dianggotai oleh golongan bangsawan. Bilangan ahlinya antara 40-50 orang dan bidang kuasa mereka lebih rendah berbanding kuasa Duma. Prikazi pula merupakan jabatan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal dan diluluskan oleh Duma. Sistem pembesar di Rusia disusun dengan teliti akan tidak berlaku pertindihan peranan, lebih seragam dan lebih cekap. 

Oleh itu Duma dan Zemskii Sabor telah dibubarkan dan diganti dengan Majlis Senate pada tahun 1711 semasa pemerintahan Peter The Great. Majlis ini dianggotai oleh 9 ahli dengan dibantu oleh Colleges bagi meringankan beban tugas Senate yang semakin hari semakin banyak tugasnya. Dalam bidang pemerintahan, institusi gereja Kristian Ortodoks juga mempunyai peranan penting dalam bidang keagamaan, ekonomi dan politik. Namum peranan mereka telah dikawal dengan ketat oleh raja Rusia supaya pembaharuan yang ingin dilaksanakan di Rusia dapat dilaksanakan. Raja Peter telah bertindak tidak melantik Patriarch yang baharu pad tahun 1700 malah telah menggantikannya dengan Holy Synod. 

Begitu juga di zaman Catherine, beliau telah memiliknegarakan harta dan kekayaan gereja. Hal ini telah membolehkan raja mengawal kuasa gereja kerana mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat. Dalam pengubalan dasar luar, Jawatankuasa Tidak Rasmi atau Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan memberi nasihat kepada raja malah menyokong segala dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah terutama di zaman Alexander I. Beliau juga telah melakukan perubahan dalam pemilihan anggota Duma atau parlimen seperti pemilihan anggota melalui pilihanraya. 

Semasa pemerintahan Nicholas II, beliau menjadikan Duma sebagai Parlimen Rendah iaitu keanggotaannya dipilih melalui undian oleh rakyat dan bukan dipilih oleh Tsar. Oleh kerana keanggotaannya terdiri daripada pelbagai peringkat dan bangsa maka ini telah menyukarkan Duma untuk membuat keputusan. Akhirnya Duma pertama telah dibubarkan dan Duma Kedua telah ditubuhkan pada Mac 1907. Diperingkat pusat juga ditubuhkan Dewan Perhimpunan Wilayah yang bertanggungjawab membantu Tsar dalam menguruskan pentadbiran negara Rusia. Keanggotaan terdiri daripada golongan bangsawan. 

Polis Rahsia Khas (Okhrana) juga ditubuhkan di peringkat pusat untuk mengawal penyebaran unsur propaganda yang boleh menggugat pemerintahan Tsar, demontrasi rakyat, mengawal jalan keluar masuk ke Rusia, menjadi pengintip raja atau Tsar dan menangkap golongan pengkhianat kepada Tsar. Penubuhan pasukan ini telah mengukuhkan lagi pemerintahan Tsar terutama di zaman pemerintahan Nicholas I, Alexander II dan Nicholas II. Pentabiran Di Peringkat Daerah. Pentadbiran peringkat daerah juga amat penting dalam membantu pemerintahan Tsar di Rusia. Pentadbiran di peringkat daerah di ketuai oleh gabenor atau naib gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat seperti di zaman pemerintahan Catherine. Di peringkat daerah juga diwujudkan 

Majlis Perundangan Tempatan atau Majlis Daerah (Zemstvo). Rakyat diberi kuasa untuk memilih ahli Majlis Daerah. Ahli Majlis Daerah pula akan memilih ahli Majlis Wilayah. Majlis ini berperanan menjaga jambatan, jalan raya, pendidikan, kesihatan awam dan pemilihan pegawai undang-undang. Pentabiran Di Peringkat Kampung. Pentadbiran peringkat kampung pula dijalankan oleh Majlis Kampung.

 Majlis ini juga dikenali sebagai mir atau Komun. Majlis ini berperanan untuk memunggut cukai yang telah ditetapkan oleh kerajaan, menentukan jenis tanaman yang ditanam oleh petani, mengagihkan tanah pertanian kepada petani, memilih di kalangan golongan petani untuk menjadi tentera apabila diperlukan oleh Tsar, mengawal kemasukan pengaruh luar yang boleh mengugat kerajaan pusat dan menjadi pengintip kerajaan daripada berlakunya penentangan. 

SISTEM PEMBESAR DI CHINA

SISTEM PEMBESAR DI CHINA 

Pembesar di China


Kedudukan Sistem pembesar di negara-negara Asia Timur termasuk China masih mengamalkan sistem feudal. Berdasarkan sistem ini pembesar mempunyai kuasa yang terhad dan bergantung kepada sokongan raja atau maharaja. Dalam masa yang sama pembesar mempunyai tanggungjawab terhadap pengikutnya dan ini penting bagi melaksanakan tugasnya terhadap raja.  


Di China, pembesarnya terdiri daripada pembesar peringkat pusat dan pembesar peringkat wilayah. Kebanyakan golongan pembesar ini merupakan mereka yang lulus Peperiksaan Perkhidmatan Awam dalam kurikulum Confucius yang merupakan falsafah moral bagi masyarakat China klasik. 

Terdapat juga pembesar daripada kalangan golongan bangsawan atau tentera yang dilantik oleh maharaja. Maharaja menduduki lapisan teratas diikuti golongan bangsawan, golongan terpelajar/sarjana, golongan petani, golongan pertukangan, saudagar/peniaga dan golongan askar. Golongan bangsawan memiliki wilayahnya tersendiri yang ditauliahkan oleh maharaja. Mereka ini berkuasa mentadbir wilayah masing-masing. Golongan bangsawan di China adalah mereka yang lulus dalam Peperiksaan Awam. Peperiksaan awam ini mempunyai empat tahap iaitu peperiksaan bandar, peperiksaan jajahan, peperiksaan wilayah dan peperiksaan istana yang dijalankan di hadapan maharaja sendiri. 

Mereka yang lulus dalam peperiksaan awam akan ditempatkan di kementerian-kementerian yang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar kerajaan. Golongan ini jugalah yang menganggotai Imperial Secretariat dan Imperial Cancelory. Kesemua dasar yang digubal diperingkat pusat akan dilaksanakan diperingkat wilayah. Pelaksanaanya akan dipertanggungjawabkan kepada pembesar bawahan di Jabatan Hal Ehwal Negara. 

Terdapat pelbagai jenis jabatan yang dibentuk seperti Jabatan Awam, Jabatan Hukuman, Jabatan Perkhidmatan, Jabatan Hasil dan Cukai, Jabatan Upacara serta Adat Istiadat dan Jabatan Penapis. Golongan sarjana atau gentri merupakan pembesar tempatan yang membantu pembesar-pembesar peringkat wilayah. Mereka ini sebenarnya golongan terpelajar tetapi berkhidmat secara sukarela kepada pembesar wilayah yang dilantik oleh maharaja. Golongan Gentri ini bertindak sebagai orang tengah antara pembesar kerajaan dengan rakyat jelata di kawasan mereka sendiri. 

Terdapat juga pembesar yang bukan golongan bangsawan. Mereka ini berpengaruh diperingkat wilayah kerana memiliki angkatan tentera mereka sendiri. Golongan ini bertanggungjawab ke atas wilayah mereka sendiri dan bersedia membantu dari segi ketenteraan kepada kerajaan pusat pada bila-bila masa. 

Peranan Pembesar di Peringkat Pusat 

1.     Raja atau maharaja China membahagikan tiga fasa pentadbiran, iaitu pentadbiran awam, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran tempatan di bawah badan pengawas bagi melancarkan pemerintahannya dalam memastikan keamanan dan ketenteraman negara.

 2.     Dalam pemerintahan dan pentadbiran pusat, maharaja China memecahkan pentadbiran kepada beberapa unit atau institusi, iaitu Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi (Enam Badan Menteri), dan Censorate (Lembaga Penapis).  

 3.     Institusi Sekretariat Agung terdiri daripada 3 hingga 6 orang setiausaha agung yang dipilih oleh maharaja China.  Peranan Sekretariat Agung: a)     Membantu maharaja dalam menyelia dan menyelaras 6 badan kementerian dalam pentadbiran pusat. b)     Memaklumkan kepada maharaja segala perjalanan dalam 6 badan kementerian.

 4.     Maharaja dibantu oleh Majlis Tertinggi.  Majlis ini menjadi badan penasihat yang penting kepada raja atau maharaja. 

Ciri-ciri Majlis Tertinggi ialah :

 a.      Dibahagikan kepada enam kementerian. 

b.      Setiap kementerian akan dikawal oleh seorang pegawai kanan atau Shangschu.  Sangschu akan dibantu oleh beberapa pegawai rendah dalam setiap urusan berdasarkan kementeriannya. 

5.   Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Personal atau Ministry of Personal terdiri daripada Lembaga Personal, Lembaga Kewangan, Lembaga Adat, Lembaga Perang, Lembaga Hukuman, dan Lembaga Kerja-kerja Awam. Terdapat 4 jabatan utama yang bertanggungjawab terhadap pelantikan, penganugerahan, rekod perkhidmatan dan penilaian prestasi.

 a.      Kementerian Kewangan terdiri daripada 13 orang pegawai dan setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengawal salah satu daripada 13 provinsi dan mewakili 4 bahagian yang khusus, iaitu penduduk, akaun awam, akaun khusus, dan akaun pertanian atau tanaman.  Kementerian ini menyimpan kewangan negara, memastikan kekayaan maharaja, serta menguruskan perbelanjaan negara dengan baik. 

b.      Kementerian Adat dibahagikan kepada 4 jabatan yang bertanggungjawab kepada adat istiadat, pengorbanan, penerimaan tetamu, dan barangan.  Kementerian ini juga menguruskan hal ehwal agama Buddha dan Taoisme.  Anggotanya terdiri daripada golongan cendekiawan.  Kementerian ini turut mengendalikan Sistem Peperiksaan Kerajaan dan melaporkan kepada maharaja sama ada pelajar tersebut layak memegang jawatan atau tidak.

 c.      Kementerian Perang mempunyai 4 jabatan yang bertanggungjawab terhadap pelantikan pegawai, pengawasan operasi, peralatan, dan pembekalan kelengkapan tentera. Oleh yang demikian, kalangan ketua-ketua tentera sering mendapat tempat istimewa dalam kerajaan. 

d.      Kementerian Keadilan terbahagi kepada 13 jabatan berasaskan prinsip setiap satu di setiap provinsi. 

e.      Kementerian Kerja Raya dibahagikan kepada 4 jabatan dan berfungsi mengawal beberapa gudang dan kilang.  Kementerian ini bertanggungjawab dalam kerja pembinaan, mendapatkan guna tenaga untuk perkhidmatan awam, pembuatan barang untuk kerajaan, komunikasi laut dan darat, penyelarasan timbangan, dan mengawal pengeluaran barangan tertentu dari kawasan pergunungan dan tasik di China.   

 6.   Maharaja China menubuhkan Lembaga Penapis atau Censorate  untuk memastikan pembesarnya menjalankan arahan serta menjadi mata dan telinga maharaja.

 Ciri-ciri Lembaga Penapis : 

(a) Terdiri daripada 2 orang Censor, beberapa timbalan, dan  4 pegawai rendah yang bertanggungjawab dalam menguruskan surat-menyurat  Censorate dan urusan pentadbiran.

 (b)  Kuasa utama Censorate terletak pada 110 pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk membendung amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa, dan ketidakcekapan.

 (c)  Pada zaman Dinasti Ching, maharaja menempatkan 24 orang Censorate di Peking atau ibu kota dan lebih 56 orang Censorate di wilayah. Jabatan ini berhubung terus dengan maharaja sekiranya terdapat pembesar wilayah yang ‘curang’ terhadap maharaja. Secara langsung ini merupakan satu langkah maharaja untuk mengekalkan kawalannya ke atas pembesar wilayah tersebut dan memudahkan maharaja untuk mengambil tindakan sekiranya kedudukannya terancam atas perlakuan pembesar berkenaan. Justeru jelas menunjukkan bahawa pembesar pusat amat berperanan untuk mengukuhkan kedudukan maharaja. Peranan Pembesar di 

Peringkat Wilayah 

1.   Dalam pentadbiran pembesar di peringkat wilayah, sering kali kalangan tentera dilantik sebagai pembesar wilayah dalam usaha memastikan wilayah tersebut berada dalam keadaan aman dan tenteram serta mematuhi segala arahan daripada kerajaan pusat. Selain golongan tentera, terdapat juga golongan sarjana atau official gentri/ Shan-shin diberikan peranan untuk mengetuai pentadbiran di wilayah. Secara umumnya jawatan pembesar wilayah di China dikenali dengan nama Gabenor. 

2.   Dalam pentadbiran semasa Dinasti Ching (Manchu) Gabenor dibantu oleh pegawai-pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja seperti Bendahari dan Hakim.  Bendahari bertugas sebagai bendahari amal di wilayahnya.  Hakim bertugas mengawal undang-undang jenayah dan bidang kuasa rayuan dalam perkara-perkara jenayah, serta menjadi Pengawal Garam dan Pegawai Bijirin.  Manakala, Tao-tai ialah seorang pegawai yang bertugas dalam pentadbiran khas dalam lingkungan dan jajahan pula dikawal oleh ketua jajahan. 

3.   Dalam melaksanakan tugasnya memegang amanah “mandat dari syurga”, maharaja amat bergantung kepada kekuatan angkatan tentera. Oleh itu jawatan ketua-ketua tentera sering mendapat tempat istimewa dalam kerajaan. 

4.   Justeru pembesar wilayah juga dilantik dalam kalangan bijak pandai (gentry) yang telah lulus pendidikan Confucius.

 Keistimewaan pembesar wilayah: 

a)     Dibenarkan mengubah dasar yang dibentuk oleh pemerintah pusat dengan kebenaran adat istiadat dan keadaan setempat.

 b)     Diberi kebebasan bertindak dalam hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat tempatan dan menjalankan perintah mahajara. 

c)      Dianggap sebagai pemerintah separuh merdeka. 

d)     Bebas ditukarkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain di seluruh empayar atas arahan maharaja.

 e)      Menjaga keamanan dan ketenteraman di wilayah-wilayah masing-masing. 

f)       Menghantar hasil, cukai atau wang kepada kerajaan pusat. Kesimpulan Keseimbangan antara kalangan tentera yang menjadi tulang belakang dalam pertahanan negara serta kehadiran kalangan sarjana dalam sistem pembesar di negara China telah menjadikan pemerintahan China mampu bertahan daripada sebarang ancaman luar sehingga abad ke-19. 

SISTEM BERMAHARAJA DI CHINA

SISTEM BERMAHARAJA DI CHINA 

Kemunculan sistem pemerintahan monarki dalam sejarah China dapat dikesan sejak zaman dinasti Hsia (2205-1755 S.M), kemudian dinasti Shang, dinasti Chin, dinasti Sung, dinasti Sui, dinasti Tang, dinasti Ming, dan dinasti Ching. Ketua pemerintahan kerajaan China bergelar maharaja. Gelaran maharaja buat pertama kalinya telah digunakan oleh Shih Huang Ti, pemerintah dinasti Chin. 

Dalam sistem pemerintahan monarki, maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran. Kedudukannya pula diperkukuh menerusi konsep "mandat dari syurga" yang memberikan kuasa spiritual kepada seseorang pemerintah. Dalam urusan pentadbiran pula, maharaja dibantu oleh segolongan pembesar yang akan menguruskan pentadbiran di peringkat pusat dan wilayah. Sistem pentadbiran bercorak birokratik turut diwujudkan bagi melicinkan lagi urusan pentadbiran. Dengan adanya sistem pemerintahan yang teratur dan sistematik ini, kerajaan pusat dapat mengawal wilayah serta tanah jajahannya yang luas. 

Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan monarki mengalami kemerosotan pada zaman dinasti Ching dan berakhir pada tahun 1912. Revolusi 1911 telah berjaya menamatkan pemerintahan bercorak monarki di China dan digantikan dengan pemerintahan bercorak republik. Pemerintahan Bermaharaja Di China Raja Yu merupakan pemerintah pertama yang memulakan pemerintahan bercorak dinasti yang telah mengasaskan dinasti Hsia.

 Shih Huang Ti (221-210 S.M.) merupakan pemerintah dinasti Chin yang berjaya membentuk empayar China pula merupakan pemerintah pertama yang menggunakan gelaran maharaja atau "huang ti". Gelaran maharaja digunakan bagi melambangkan kuasa serta kekuasaan yang ada pada seseorang pemerintah untuk memerintah. Selain itu, terdapat juga gelaran lain yang digunakan oleh pemerintah seperti tien tzu (putera syurga). 

Dalam pemerintahan, maharaja mempunyai kedudukan tertinggi dan berkuasa mutlak. Namun kuasa yang miliki oleh seseorang maharaja dikawal oleh Undang-undang Moral, Klasik Confucius, dan Majlis Tertinggi Negara. Kuasa dan kedudukan seseorang maharaja dalam tamadun China berdasarkan konsep "mandat dari syurga". Mengikut konsep ini, maharaja dianggap sebagai anak syurga dan diberi mandat untuk memerintah di muka bumi. Sebagai anak syurga, rakyat tidak boleh mempersoalkan kuasa yang dimiliki oleh raja. 

Rakyat juga dikehendaki memberikan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada maharaja. Sebaliknya mandat tersebut akan ditarik balik dan maharaja akan dipersalahkan bagi setiap kepincangan yang berlaku dalam pemerintahannya walaupun disebabkan oleh kejadian bencana alam. Contohnya seperti kemarau, banjir, dan kebuluran kerana keadaan ini telah menimbulkan kesengsaraan kepada rakyat. Apabila mandat ditarik balik, rakyat boleh menggulingkan pemerintahan maharaja tersebut untuk diganti dengan pemerintahan maharaja yang baharu mendapat mandat. Dalam menjalankan pentadbiran pula, maharaja dibantu oleh golongan pembesar di peringkat pusat dan wilayah. 

Diperingkat pusat pentadbirannya bercorak birokratik di bawah penguasaan golongan pembesar. Manakala pentadbiran di peringkat wilayah dikuasai oleh pentadbir awam, gabenor tentera, dan pengawas. Maharaja memberi kuasa autonomi kepada pentadbir-pentadbir di peringkat wilayah. Sekitar abad ke-16 hingga abad ke-20, China diperintah oleh dinasti Ming (1368-1644) dan kemudiannya oleh dinasti Ching (1644-1911). Pemerintahan yang diamalkan kedua-dua dinasti ini bercorak autokrasi. Kedudukan Maharaja Maharaja menduduki hierarki teratas dalam struktur sosial dan merupakan ketua negara. Dalam sistem pemerintahan beraja, maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan terutama dalam bidang eksekutif, perundangan, dan kehakiman.

 Dalam menjalankan urusan pentadbiran, maharaja dibantu oleh kakitangan awam yang terdiri daripada golongan bangsawan. Peranan Maharaja Dalam Pemerintahan Bidang Politik Maharaja berkuasa menetapkan dasar kerajaan dan memutuskan dasar kerajaan. Mengendalikan hal ehwal luar negara iaitu maharaja berkuasa untuk menandatangani perjanjian dengan kuasa-kuasa asing, menghantar utusan atau perwakilan ke negara-negara lain, menerima kunjungan duta-duta asing ke China dan menetapkan dasar luar kerajaan dengan negara-negara lain. 

Menguruskan hal ehwal kakitangan awam iaitu berkuasa dalam melantik dan melucutkan jawatan pegawai-pegawai kerajaan, meluluskan kenaikan pangkat kakitangan kerajaan, mengurniakan gelaran dan darjah kebesaran kepada pembesar yang setia kepadanya. Menguruskan pentadbiran pusat iaitu maharaja merupakan ketua pentadbir di peringkat pusat. Baginda menjalankan pentadbiran dengan dibantu oleh Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi, dan Lembaga Penapis. 

Majlis Penasihat memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada maharaja dan mempunyai enam buah kementerian iaitu Kementerian Personal, Kementerian Kewangan, Kementerian Adat, Kementerian Perang, Kementerian Keadilan, dan Kementerian Kerja Raya. Lembaga Penapis berperanan mengawasi dan memaklumkan segala tindak-tanduk pembesar kepada maharaja. Menguruskan pentadbiran wilayah iaitu maharaja berkuasa melantik gabenor bagi mengendalikan pentadbiran di peringkat wilayah. Gabenor dibantu oleh pesuruhjaya bagi menguruskan hal kewangan, kehakiman, dan pendidikan. 

Dalam bidang ketenteraan, komander dilantik untuk mengawal wilayah. Pentadbiran daerah diterajui oleh majistret daerah yang berperanan untuk mengutip cukai, memelihara keamanan, dan menyelesaikan pertikaian. Pentadbiran peringkat kampung, bandar, dan pekan dikendalikan oleh penduduk tempatan. Dalam bidang kehakiman pula maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang perundangan iaitu berkuasa untuk mengisytiharkan suatu undang-undang, berkuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap pesalah, mengendalikan kes-kes rayuan, dan berhak memberikan pengampunan kepada seseorang yang melakukan kesalahan. Dalam bidang ketenteraan, maharaja merupakan ketua tentera negara di mana baginda akan mengetuai pasukan tentera ketika menghadapi musuh di medan peperangan, berkuasa melantik panglima perang di peringkat pusat dan wilayah. Baginda juga berperanan dalam mengukuhkan ketahanan dan pertahanan negara, merancang ekspedisi ketenteraan bagi mempertahankan negara daripada ancaman musuh, merancang dasar ketenteraan negara dan berkuasa mengawal pengawal-pengawal diraja. 

Bidang ekonomi Menguasai segala sumber ekonomi negara termasuk hasil bumi dan kegiatan perdagangan. 

Baginda berkuasa melantik pegawai-pegawai untuk mengendalikan hal ehwal ekonomi negara, menerima sumber pendapatan daripada kutipan hasil cukai, mengurniakan tanah kepada para pembesar dan tanah tersebut akan diusahakan oleh para petani dan pembesar akan menyerahkan sebahagian daripada hasil tanah tersebut kepada maharaja. 

Bidang sosial Maharaja mempunyai tanggungjawab moral bagi menjaga kepentingan rakyatnya dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat jelata. Maharaja akan memberi penghormatan kepada upacara-upacara ritual yang diadakan. Baginda juga tidak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan adat dan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman 

Bidang keagamaan pula, maharaja merupakan ketua agama dan berkuasa melantik pendeta dan ketua-ketua agama bagi menjalankan upacara ritual. Baginda akan mengetuai upacara keagamaan yang diadakan di dalam negara. Dalam bidang keintelektualan, baginda ketua dalam peperiksaan awam China iaitu baginda akan mengarahkan pengendalian peperiksaan awam di peringkat daerah dan Bandar. 

Baginda akan terlibat dalam pemilihan calon terbaik dalam peperiksaan awam pada peringkat kebangsaan. Baginda akan memberi ceramah kepada penuntut-penuntut di Kolej Imperial. 

INSTITUSI PEMERINTAHAN: RAJA/MAHARAJA DI RUSIA



INSTITUSI PEMERINTAHAN: RAJA/MAHARAJA DI RUSIA 

PENGENALAN   

Sistem pemerintah Rusia telah mengamalkan Sistem Pemerintahan Beraja  bermula tahun 1547 sehingga tahun 1917. Sistem pemerintahan Rusia adalah diwarisi daripada sistem pemerintahan empayar Byzantine selepas berlakunya perkahwinan Ivan III dengan cucu maharaja Byzantine yang terakhir iaitu Sophia pada tahun 1469. Sistem pemerintahan di Rusia menggunakan konsep caesaropapism iaitu konsep gabungan unsur keagamaan dan politik yang mengkehendaki rakyat taat setia kepada pemeriantah Rusia. Gelaran raja/maharaja Rusia dikenali sebagai Tsar sempena gelaran Caesar yang diguna pakai oleh pemerintah empayar Byzantine. Ivan IV merupakan raja pertama yang menggunakan gelaran Tsar dan penggunaannya berakhir dengan Dinasti Ramanov pada tahun 1917. Pada abad ke 16 hingga abad ke-20, pemerintahan beraja di Rusia di bawah Dinasti Romanov iaitu bermula dengan Michael Ramanov (1613-1645), Peter The Great (1682-1725), Catherine I (1725-1727), Tzar Alexander I (1801-1825), Tzar Nicholas I (1825-1855), Tzar Alexander II (1855-1881), dan Tzar Nicholas II (1894-1917). Sistem beraja di Rusia di bawah Dinasti Ramanov  selama 304 tahun berakhir semasa pemerintahan Tsar Nikolai II apabila berlaku Revolusi Russia 1917 dan digantikan dengan sebuah parti campuran yang mengaku dirinya sebagai Kerajaan Sementara. Pemerintahan Kerajaan Sementara di bawah Putera Lyvov dan Alexander Kerensky sehingga 25 Oktober 1917. 

Akhirnya pemerintahan Rusia diambil alih oleh Vlanimir Ilyich Lenin melalui Revolusi Bolshevik. Kedudukan Raja Rusia 

1. Kedudukan Tertinggi Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur masyarakat. Rakyat perlu taat dan memandang mulia kepada Tsar. Tsar merupakan ketua dalam setiap bidang pemerintahan di Rusia. Tsar berkuasa membuat segala keputusan yang akan dilaksanakan di Rusia dan segala perintah Tsar rakyat tidak boleh membantah. 

2.Berkuasa mutlak Sebelum Revolusi Rusia 1917, Rusia mempratikkan pemerintahan bercorak autokratik. Pada tahun 1547, Ivan IV yang lebih dikenali sebagai ”Ivan yang ganas” telah memerintah Rusia dengan menggunakan kuasa mutlak. Beliau telah bertindak mengisytiharkan kanun undang-undang baharu pada tahun 1550, menubuhkan badan perwakilan feudal (Zemskii Sabor) pertama di Rusia dan berjaya melemahkan kedudukan orang Tartar di Rusia dengan menguasai Kazan (1552) dan Astrakhan (1556). Begitu juga dengan pemerintahan Tsar IV Nikolai II  (1894-1917) mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan keputusan pentadbiran serta hal-ehwal kerajaan. 

3. Hak Istimewa Maharaja Rusia seperti maharaja lain di dunia mempunyai hak istimewa dalam masyarakat seperti kekebalan dari segi undang-undang dan diberi pelbagai kemudahan istimewa. Segala kata Tsar akan dirujuk dan dianggap sebagai undang-undang. 

Peranan Maharaja Russia dalam pemerintahan 

1. Ketua Negara Maharaja Rusia berperanan sebagai ketua negara atau ketua kerajaan yang berkuasa mutlak dalam pentadbiran. Baginda berkuasa dalam bidang politik, ekonomi dan sosial seperti mana zaman pemerintahan Tzar Nicholas II. 

2. Dasar Luar Tsar Rusia berkuasa dalam menentukan hubungan luar negeri/hubungan diplomatik. Maharaja Rusia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara Eropah Barat termasuk Jerman untuk melatih ketenteraan Rusia. Tsar Alexander I (1801-1825) telah menandatangani satu perjanjian dengan Napoleon pada tahun 1807 iaitu Rusia bebas menjalankan dasar menakluki Turki dan berjaya merampas wilayah Bessarabia pada tahun 1812. 

3. Melantik Menteri Dalam sistem pemerintahan beraja di Rusia, Tsar juga mempunyai kuasa melantik menteri bagi mengukuhkan kedudukannya. Selain itu baginda juga berkuasa untuk memecat menteri yang dianggap menentangnya dalam pemerintahan. Contohnya semasa pemerintahan Tsar Nicholas II. Tsar akan memilih dan melantik menterinya yang benar-benar boleh dipercayai dan mampu mentadbir kerajaan. Menteri diibarat sebagai tulang belakang atau penyokong kuat kerajaan. Kuat atau lemah seseorang Tsar itu bergantung kepada golongan menteri ini. 

4. Bertanggungjawab menjaga keamanan Pemerintahan Rusia bertanggungjawab untuk memulih, menjaga keamanan dan keselamatan seluruh negara Rusia daripada ancaman musuh. Pemerintah Michael Ramanov telah berjaya mempertahankan Rusia daripada pencerobohan asing dengan menjadikan beberapa buah bandar yang berkubu di selatan untuk menentang Tartar dan Turki. 

5. Mengetuai ketenteraan Dasar perluasan wilayah juga mendorong pemerintah Rusia mengawal ketenteraan. Oleh sebab Rusia sering terancam telah menyebabkan pemerintah Rusia memperkuatkan tenteranya seperti mana yang dilakukan oleh Peter The Great. Peter teleh menambah peruntukan ketenteraan sebanyak 2.3 juta rouble pada tahun 1701 kepada 32 juta rouble pada tahun 1710. Peter juga memastikan peruntukkan perbelanjaan pusat memberi keutamaan kepada pertahanan negara Rusia. Begitu juga dengan pemerintah Yekaterina Agung (1762-1796) yang meluaskan kuasanya ke Poland-Lithuana dan di selatan memerangi wilayah empayar Uthmaniyyah. Alexander II (1855-1881) yang telah memodenkan tentera Rusia berjaya membebaskan Bulgaria daripada pemerintahan Uthmaniyyah dalam Perang Rusia-Turki (1877-1898). 

6. Mengetuai bidang ekonomi Pemerintah Rusia juga bertanggungjawab memajukan ekonomi supaya negara bertambah kukuh dan stabil. Kesungguhan pemerintah Rusia dalam memajukan ekonomi dapat dilihat semasa pemerintahan Peter The Great, Tzar Alexander II dan Tzar Nicholas II. Semasa Peter The Great, beliau telah menggalakkan pembangunan industri perkilangan membuat senjata, peralatan tentera, pembuatan makanan, sektor pembuatan seperti tekstil, kertas, kaca dan barangan kulit. Industri besi dan keluli juga dimajukan di Ural sehingga Rusia boleh muncul sebagai pembekal besi utama untuk pasaran Eropah pada abad ke-18. Tzar Alexander II pula membangunkan sistem pengangkutan kereta api bagi memajukan lagi sektor industri di Rusia. Begitu juga pemerintah Tzar Nicholas II turut memberi tumpuan kepada kemajuan pengangkutan kereta api kerana ia menjadi kunci kepada pembangunan ekonomi Rusia. 

7. Sebagai ketua agama Kristian Pemerintah Rusia juga berperanan sebagai ketua agama dan bertanggungjawab memperkukuhkan serta menyuburkan ajaran agama Kristian Ortodoks. Pemerintah Rusia perlu memastikan rakyatnya sentiasa mematuhi pengamalan agama. Sebagai contoh pemerintah Peter The Great telah memberikan tawaran kemewahan dan kebendaan serta ada yang diugut yang mana tanah mereka akan dirampas jika tidak menukar agama.  

Bagi menjayakan hasratnya juga, beliau telah mengarahkan mubaligh Kristian mempelajari bahasa masyarakat tempatan, menterjemahkan kitab Bible ke dalam bahasa tempatan dan menghantar mubaligh tinggal bersama keluarga yang menjadi sasaran pemerintah. Kesimpulan Kedudukan dan peranan Tsar di Rusia sememangnya tidak banyak bezanya dengan kedudukan dan peranan raja/maharaja di negara-negara lain di dunia ketika itu. Tetapi akhirnya kedudukan dan peranan Tsar tamat  setelah berlakunya Revolusi 1917 di Russia yang akhirnya Russia menjadi sebuah negara republik yang dipimpin oleh seorang Presiden.