Wednesday, January 20, 2016

PERKEMBANGAN MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA

PERKEMBANGAN MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA 

Perkembangan Masyarakat  Agraria di Belanda Mengikut pengembara Eropah, masyarakat agraria di Belanda mula mengalami perkembangan yang pesat  dalam bidang pertanian pada abad ke-16 dan ke-17 M. Perkembangan ini dapat dilihat melalui penggunaan kaedah dan teknik pertanian yang lebih maju berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain, pengenalan pelbagai jenis tanaman baru dan turut menjadi pembekal produk tenusu ke negara-negara lain. Perkembangan masyarakat agraria di Belanda dapat dilihat melalui perkembangan pertanian, penternakan, hortikultur, kegiatan menebus tanah, dan penggunaan teknologi berkaitan dengan teknik serta kaedah pertanian. 

1. Perkembangan kegiatan pertanian Kegiatan pertanian telah dijalankan secara lebih giat pada abad ke-17, akibat berlakunya pertambahan penduduk yang pesat terutama di kawasan bandar negara Belanda. Masyarakat petani terutama disebelah utara Belanda telah mengusahakan kegiatan pertanian secara kecil kecilan dan secara sistem pertanian padang terbuka. Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di bandar-bandar negara Belanda sahaja. Antara tanaman yang ditanam ialah sayur-sayuran seperti bawang, biji kol, ketumbar, lobak dan teasel. Mengikut KHD Halley, masyarakat Belanda merupakan masyarakat yang paling banyak makan sayur-sayuran di Eropah. Selain itu, masyarakat Belanda juga turut menanam tanaman lain seperti barli, gandum, semanggi, kekacang, biji kol, mader dan hem. Barli merupakan tanaman dominan di Belanda, namun pengeluarannya semakin merosot menjelang abad ke-16 dan ke-17 M. Selepas itu, gandum telah menjadi penting menjelang abad ke-17 M. Gandum telah ditanam oleh petani secara intensif dan lebihan hasil akan dijual. Tanaman semanggi pula ditanam dibahagian utara Belanda pada tahun 1644 M untuk dijadikan sebagai makanan binatang ternakan terutama lembu. Tanaman kekacang seperti beans dan kacang peas merupakan tanaman penting di Belanda. Manakala biji kol pula ditanam oleh petani dibahagian utara Belanda dan diproses untuk menghasilkan minyak. Hampasnya pula telah dijadikan makanan binatang ternakan pada musim sejuk. Tanaman ini mula berkembang dan ditanam di Zeeland, Bogaurden, Friesland, Artois, Rhineland, Schleswig dan Holstien. Tanaman mader pula ditanam secara meluas pada abad ke-13 dan ke-14 M apabila industri tekstil mula muncul di Leiden dan bandar-bandar lain di Belanda di mana tanaman ini telah dijadikan sebuk pewarna dalam industri tekstil. Tanaman ini ditanam secara meluas di bahagian barat daya Belanda, Flanders, dan Brabant Barat. Tanaman Mader telah dieksport ke pelabuhan di bahagian selatan dan timur England. Pulau Schouwen telah menjadi pusat tanaman mader yang penting menjelang tahun 1580-an hingga pertengahan abad ke-17 M. Menjelang akhir abad ke-17 M, telah terdapat 50 kilang memproses mader dan ini telah menjadikan Rotterdam muncul sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran mader di Belanda. Penanaman hem pula ditanam dengan meluas di wilayah-wilayah Holland, Utrecht, Alblasserwaard, Lopikerwaard dan Krimpenerwaard pada abad ke-16 M. Tanaman ini digunakan untuk membuat barangan daripada kanvas, jala dan tali kapal. 

2. Perkembangan Bidang Penternakan Pada abad ke-17 M, aktiviti penternakan lembu juga dijalankan secara giat di bahagian timur Belanda seperti sekitar bandar-bandar Hertogenbosch, Lier dan Diest. Perkembangan bidang penternakan didorong oleh berlakunya pertambahan penduduk di Belanda dan seterusnya menyebabkan meningkatnya permintaan untuk bekalan daging lembu pada abad ke-16 M dan abad ke-17 M. Ini telah menyebabkan petani-petani di Holland dan Friesland memberi tumpuan kepada sektor penternakan. Bilangan ternakan telah meningkat dari 14 ekor pada akhir abad ke-16 M kepada 24 ekor pada pertengahan abad ke-17 M. Lembu-lembu tenusu yang diternak di Belanda daripada baka lembu tenusu yang terbaik di Eropah. Penternakan lembu bertambah maju dengan adanya penanaman rumput berkualiti dan pengenalan tanaman bergilir. Pertambahan penduduk di bandar telah mendorong peningkatan permintaan susu lembu di Belanda iaitu 2000 liter susu setahun sekitar tahun 1570. Pada tahun 1660, kandang-kandang lembu telah dilengkapi dengan peralatan bagi memproses susu lembu terutama di daerah Amstelland. Penternakan kambing juga dijalankan di kawasan sekitar Pulau Taxel dan Wieringan dan Pulau Grind. Penternakan ini dijalankan untuk menghasilkan bekalan keju kepada penduduk di bandar-bandar dan luar bandar. Belanda telah menjadi sebuah negara industri berasaskan tenusu dalam menghasilkan keju dan mentega yang terbesar di dunia serta berkualiti tinggi sejak abad ke-16 M dan abad ke-17 M terutama di Holland dan Friesland. Produk ini akan dieksport ke England, Perancis, Sepanyol dan kawasan pedalaman Jerman. Keju yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi yang lebih maju dan tinggi. Hasil keju ini memberi sumbangan pendapatan tahunan kepada Belanda sebanyak 6.4 juta pound. Manakala mentega pula telah dihasilkan di daerah Rijnland dan Delfland. Bandar Leidin telah menjadi pusat pusat pengeluaran mentega yang bermutu tinggi di Belanda. 

3. Perkembangan Bidang Hortikultur Bidang ini telah berkembang kesan daripada berlakunya pertambahan penduduk, peningkatan taraf hidup dan kemajuan dalam sistem pengangkutan air. Pusat-pusat hortikultur telah muncul di bandar-bandar seperti Leiden, Delft, De Langedijk dan Enkhuizen. Bidang ini meliputi penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga. Sayur-sayuran seperti bawang, lobak, ketumbar, lobak merah, parsnip dan biji sawi telah ditanam secara meluas di daerah De Langedijk. Tanaman kubis dan lobak ditanam secara bergilir-gilir dengan sayuran lain di kawasan De Streek di daerah Enkuizen. Buah-buahan pula telah ditanam di kawasan Aalsmeer dan Boskoop seperti strawberi. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini telah dihantar ke Amsterdam dan Leiden melalui pengangkutan air. Pada abad ke-17 M, tanaman bunga telah dijalankan seperti tulip dan hop. Bunga tulip telah mendapat permintaan yang tinggi dan ini telah mendorong peningkatan harganya. Bunga hop pula telah ditanam dengan meluas di kawasan sepanjang sungai Maas. Bunga hop telah digunakan dalam industri penghasilan minuman keras (beer) di bandar-bandar Haarlem, Delft dan Gouda. Terdapat 21 buah kilang minuman keras di Amsterdam dan Rotterdam antara tahun 1600-1621 M. 

4. Perkembangan Kegiatan Menebus Guna Tanah Perkembangan aktiviti pertanian di Belanda mempunyai pertalian yang rapat dengan kegiatan menebus guna tanah kerana sebahagian besar tanah pertanian yang subur berada di bawah paras laut. Ini telah menyebabkan kawasan pertanian yang terletak di pinggir laut ditenggelami air laut. Keluasan tanah yang ditebus guna untuk pertanian di negara Belanda telah dijalankan dari tahun 1545 sehingga tahun 1814. Muara Sungai Middeizee ditambak bagi tujuan menebus guna tanah tersebut untuk tujuan pertanian. Menjelang pertengahan abad ke-17 M, sebahagian besar tanah di wilayah Zeeland di tebus guna untuk tujuan pertanian. Di seluruh wilayah Zeeland, tanah yang ditebus guna meningkat kepada 49%, iaitu daripada 85 000 hektar kepada 127 000 hektar menjelang tahun 1600 dan 1680. Usaha penambakan tanah dilakukan di Oud-Beijerland (1557) dan Nieuw-Beijerland (1582) menyebabkan tanah seluas 2300 hektar ditebus guna. 

5. Perkembangan Teknologi Pertanian Kegiatan pertanian semakin berkembang kerana berlakunya kemajuan yang pesat dalam teknik dan kaedah pertanian di Belanda menjelang abad ke-16 M dan ke-17 M berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain. Antara perkembangan yang berlaku dalam bidang teknologi pertanian ini adalah kajian mengenai sistem pertanian Belanda, pengenalan sistem tanaman bergilir, sistem penanaman rumput ternakan, sistem batas, sistem penanaman deretan, teknik memelihara kesuburan tanah dan penciptaan peralatan pertanian. Kajian Mengenai Sistem Pertanian Belanda telah dijalankan terutama mengenai teknik dan kaedah pertanian yang di perkenalkan oleh masyarakat Belanda dijalankan oleh sarjana-sarjana dari England seperti Sir Richard Weston, Lord Townshend, Bakewell, Sir John Sinclair, Thomas Radcliff, Andrew Fletcher of Saltoun, James Meikle, Bartholomew Rocque, Patrick Neill dan William Speechley. Hasil kajian mereka, menunjukkan petani-­petani di Belanda telah memperkenalkan sistem tanaman giliran, sistem penanaman rumput seperti Clover, Lucerne, Burnet, Timothy Grass dan Turnip dan mencipta peralatan seperti tenggala dan mesin menampi. Petani-petani Belanda merupakan perintis dalam memperkenalkan sistem penggiliran tanaman. Dalam sistem penggiliran yang diamalkan di Belanda, penanaman secara intensif telah dijalankan di mana tanah rang telah ditanam dengan kacang tanah, ubi-ubian, jagung dan bijirin seperti gamdum, barli, oat yang menjadi sumber utama Belanda. Sistem penggiliran ini melibatkan penanaman jagung musim sejuk (satu tahun), jagung musim panas (satu tahun), tanah rang (satu tahun) dan penanaman rumput (3 atau 6 tahun) diamalkan. Sistem penggiliran ini telah diamalkan di bandar Ghent (1323), St. Pieters ter Aalst (1368) dan Lede yang terletak di Alost pada tahun 1372. Sistem penggiliran tanaman juga diamalkan secara meluas di wilayah Waes (Belanda) pada tahun 1644. Sistem tanaman ini masih dipraktikkan di ladang-ladang yang terletak di selatan Edegem di wilayah Brabant pada tahun 1800. Kaedah ini akan mengembalikan kesuburan tanah dan  meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Petani-petani Belanda juga memperkenakan sistem penanaman rumput ternakan untuk ternakan pada tanah rang. Tanaman rumput seperti turnip ditanam di kawasan tanah rang selepas jagung dituai. Terdapat bukti mengenai penanaman tanaman rumput di tanah rang pada pertengahan abad ke-15 M iaitu pada tahun 1498 di Louvain. Petani-petani di Belanda juga memperkenalkan sistem menanam dengan membuat batas. Melalui sistem ini, saliran yang baik dapat diwujudkan bagi memastikan tanaman tumbuh dengan subur. Bagi memelihara kesuburan tanah, kedudukan batas diubah setiap tahun. Sistem penanaman di atas batas menyebabkan penanaman dalam deretan atau jajaran di perkenalkan. Sistem Penanaman Deretan diamalkan bagi tanaman seperti jagung, mader, hop, biji kol dan tembakau. Sistem penanaman dalam deretan bagi tanaman komersial digunakan sejak abad ke-14 M. Petani-petani Belanda juga mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam memelihara kesuburan tanah. Mereka mengekalkan kesuburan tanah pertanian dengan melakukan aktiviti berikut melakukan pemugaran tanah pertanian, menggunakan baja asli dan membuang rumput dan tanaman perosak. Petani-petani mengekalkan kesuburan tanah dengan menggunakan baja asli yang terdiri daripada najis ternakan yang diperolehi daripada kawasan-kawasan penternakan lembu. Petani-petani di Belanda juga memberi sumbangan dalam penciptaan peralatan pertanian. Antara peralatan yang dicipta termasuklah sejenis tenggala baru yang digunakan oleh petani di Gelderland, mencipta tenggala beroda dan mesin untuk menampi bijirin. 

No comments:

Post a Comment