Wednesday, January 20, 2016

KERAJAAN KESATUAN PERANCIS

Di negara Barat terdapat dua jenis bentuk kerajaan yang diamalkan iaitu negara kesatuan dan negara persekutuan. Pelaksanaan mana-mana bentuk kerajaan ini akan mempengaruhi keharmonian kerajaan pusat dan tempatan di negara masing-masing. 

Kerajaan kesatuan merupakan sebuah kerajaan yang memberi kuasa yang luas kepada kerajaan pusat dan menghadkan kuasa kepada kerajaan tempatan (local government). Manakala kerajaan persekutuan pula merupakan sebuah negara yang mengamalkan pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri (kerajaan tempatan). Bentuk kerajaan kesatuan telah diamalkan di negara Perancis manakala kerajaan persekutuan telah diamalkan di negara Amerika Syarikat. Kerajaan Kesatuan Di Perancis Di negara Perancis, kerajaan pusat mempunyai kuasa dalam semua aspek pemerintahan, boleh mengubah sempadan dan kuasa, dan juga boleh membatalkan perundangan yang telah diluluskan oleh peringkat negeri/wilayah.

 Negara kesatuan Perancis mempunyai beberapa ciri iaitu: 

1.     Kerajaan pusat mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan seluruh pemerintahan di negara Perancis. 

2.     Untuk memudahkan pentadbiran maka kerajaan kesatuan telah membahagikan negara kepada beberapa wilayah atau cawangan dan diberi kuasa untuk mentadbir. Pentadbiran wilayah ini merupakan ejen kerajaan pusat. Walau bagaimanapun kuasa ini boleh ditarik balik oleh kerajaan pusat. Bentuk seperti ini adalah merupakan sistem sentralisasi iaitu pemerintah pusat  memiliki kedaulatan penuh untuk menyelenggara urusan dari pusat ke daerah/wilayah. Pemerintah wilayah hanya melaksana ketetapan pusat. 

Terdapat kelebihan jika mengamalkan kerajaan kesatuan iaitu tidak akan berlaku masalah pertindihan kerana sebarang percanggahan antara pengubal dengan pelaksana dasar dapat dielakkan. Hal ini kerana segala keputusan akan dibuat oleh kerajaan pusat dan dengan ini pemerintahan akan dapat dijalankan dengan mudah, teratur dan berkesan. Namum kerajaan kesatuan juga mempunyai kelemahannya tetapi dengan segera dapat diatasi oleh kerajaan pusat dengan menyesuaikan pentadbiran dengan keperluan semasa. Kerajaan kesatuan sesuai dilaksanakan bagi sebuah negara seperti Perancis kerana mempunyai keluasan geografinya tidak luas atau besar dan mempunyai jumlah penduduk tidak terlalu ramai. 

Pengaruh geografi yang tidak begitu luas lebih memudahkan komunikasi dua hala dan sebarang keputusan boleh dilaksanakan secepat mungkin tanpa berlakunya amalan red tape. Setelah revolusi Perancis berlaku pada tahun 1789, telah banyak berlaku perubahan di Perancis iaitu sistem pemerintahan beraja telah dimansuhkan, sistem feudal dihapuskan, hak istimewa golongan bangsawan telah ditamatkan dan berkembangnya semangat nasionalisme di Perancis. Setelah sistem pemerintahan beraja dan sistem feudal dihapuskan di Perancis, pada tahun 1790 pentadbiran baru telah dibentuk iaitu negara Perancis telah dibahagikan kepada 83 department (wilayah) dan setiap wilayah dibahagi pula kepada cantons (daerah) dan daerah pula dipecahkan kepada commune. Pentadbiran department akan diketuai oleh Prefet yang dilantik oleh kerajaan pusat. Prefet bertanggungjwab secara langsung kepada Menteri Dalam Negeri dan berperanan untuk menguruskan perkhidmatan di kawasan tempatan. Disetiap department telah ditubuhkan sebuah majlis iaitu General Council. Ahli-ahlinya dilantik oleh pemerintah peringkat pusat. 

Majlis ini merupakan institusi tempatan yang menghubungkan penduduk tempatan dengan kerajaan pusat. Commune pula berperanan untuk mentadbir kawasan bandar yang diketuai oleh Datuk Bandar (Mayor) sebagai ketua eksekutif. Datuk Bandar pula akan dibantu oleh Majlis Bandaran (Municipal Council). Institusi commune berperanan mengendalikan perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran bandar seperti meluluskan permit bangunan, menjaga keselamatan penduduk, dan menguruskan pendaftaran perkahwinan. 

Datuk Bandar akan menjadi wakil kerajaan pusat di kawasan bandar. Datuk Bandar berperanan untuk menguatkuasakan undang-undang tempatan, mendaftar jurutera awam, menguruskan pekerja dikawasannya dan sebagainya. Walau bagaimanapun segala keputusan yang dibuat oleh Datuk Bandar boleh dipinda, diubah atau dibatalkan oleh kerajaan pusat. Commune merupakan institusi yang dibentuk bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk tempatan seperti pejabat pendaftaran, mahkamah rendah, jabatan kerja raya, polis tempatan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment