Wednesday, January 20, 2016

PERUBAHAN PEMERINTAHAN SISTEM RAJA MUTLAK KEPADA RAJA BERPERLEMBAGAAN DI PERANCIS

PERUBAHAN PEMERINTAHAN SISTEM RAJA MUTLAK KEPADA RAJA BERPERLEMBAGAAN DI PERANCIS 

Pengenalan 

Keruntuhan sistem beraja mutlak digantikan dengan sistem raja berperlembagaan hanya dalam tempoh yang singkat, iaitu lebih kurang setahun sahaja. Perancis kemudiannya menjadi negara republik yang penuh dengan keadaan huru-hara yang berlaku dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas. 

Raja Louis XVI telah memutuskan untuk mengadakan perjumpaan, iaitu Perhimpunan Orang-Orang Kenamaan pada tahun 1787 sebagai langkah untuk mengatasi masalah kewangan Perancis. Perhimpunan itu dihadiri oleh 145 orang yang terdiri daripada ketua-ketua kaum bangsawan, ketua-ketua gereja, dan hakim dengan harapan semua golongan ini bersetuju cukai dikenakan ke atas mereka. 

Persidangan Parlimen

 Hal ini dipersetujui golongan bangsawan dengan syarat golongan bangsawan diberi keutamaan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka juga mahukan Menteri Kewangan Perancis, Colonne dipecat. Untuk mengelak konflik antara Kementerian Kewangan dan Estet Kedua iaitu golongan bangsawan, Neckar menasihatkan Raja Louis XVI memanggil semula parlimen untuk bersidang pada 1 Mei 1789. Rakyat Perancis diberi peluang untuk meluahkan segala rasa tidak puas hati mereka terhadap pemerintah melalui cahiers (senarai rungutan). 

Parlimen yang bersidang buat kali pertamanya pada 5 Mei 1789 selepas 175 tahun tidak diadakan masih mengikut peraturan cara lama. Persidangan ini telah diadakan di Versailles. Semua upacara lama dikekalkan dan peraturan tersebut sudah tentu memberi keistimewaan kepada Estet Pertama dan Estet Kedua. Misalnya, ahli-ahli Estet Ketiga dikehendaki menunggu dalam tempoh yang lama di serambi yang terbuka di luar dewan persidangan di Versailles tetapi ahli-ahli daripada Estet Pertama dan Estet Kedua diberi masuk ke dewan dengan serta-merta.

 Cara persidangan di parlimen juga mengikut cara lama, iaitu selepas membincangkan sesuatu usul, ahli-ahli dewan akan mengundi sama ada menyokong atau membangkang. Keadaan ini sudah tentu tidak akan menyebelahi Estet Ketiga kerana jika Estet Pertama dan Estet Kedua tidak menyokong bermakna undi akan menjadi satu lawan dua. 

Oleh itu, Estet Ketiga menuntut supaya ketiga-tiga Estet disatukan dan pengiraan undi berdasarkan undi individu (kepala) yang terdiri daripada seluruh anggota parlimen (ketiga-tiga Estet). Persidangan ini gagal akibat perbezaan pendapat antara anggota ketiga-tiga dewan mengenai cara pengundian dilakukan. Raja Louis XVI pula membuat keputusan supaya peraturan lama mesti diguna pakai. 

Perhimpunan Kebangsaan

 Estet Ketiga mengingkari perintah Raja Louis XVI dan menjemput anggota-anggota Estet Pertama dan Estet Kedua berunding dengan mereka. Setelah perundingan dijalankan lebih kurang dua minggu, kebanyakan anggota Estet Pertama dan Estet Kedua menolak cadangan menggabungkan ketiga-tiga Estet. 

Pada 12 Jun 1789, Estet Ketiga mengisytiharkan diri mereka sebagai Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Negara). Revolusi Perancis sebenarnya bermula dengan perisytiharan Estet Ketiga sebagai Perhimpunan Kebangsaan. Penasihat Louis XVI mendesak supaya diadakan Persidangan Diraja bagi ketiga-tiga dewan dan baginda akan memberikan arahannya sendiri. Oleh itu, satu perjumpaan dirancang antara Raja Louis XVI dengan anggota Majlis Perhimpunan (dahulunya Estet Ketiga). Dewan tempat persidangan itu disediakan untuk Majlis Perhimpunan di dalam istana Versailles. Sumpah Gelanggang Tenis Marie Antoinette meminta Raja Louis XVI mengambil tindakan yang tegas terhadap anggota Majlis Perhimpunan. Apabila ahli-ahli Perhimpunan Kebangsaan bersama­-sama pemimpin mereka menuju ke dewan, mereka dapati pintu-pintu dewan telah dikunci dan dikawal oleh tentera atas arahan Raja Louis XVI. Anggota Perhimpunan Kebangsaan melarikan diri dan mereka telah berhimpun di gelanggang tenis pada 20 Jun 1789. Mereka telah mengangkat sumpah bahawa mereka tidak akan bersurai dan akan terus bersidang sehingga mereka menggubal perlembagaan Perancis. Peristiwa mi dikenali sebagai “Sumpah Gelanggang Tenis”.

 Persidangan Diraja bagi semua Estet berlangsung pada 23 Jun 1789. Dalam ucapan semasa perhimpunan itu, Raja Louis XVI mengemukakan pelbagai cadangan pemulihan untuk pertimbangan Estet-estet. Baginda seterusnya memerintahkan supaya ketiga-tiga Estet bersidang bersendirian, lalu baginda meninggalkan dewan. Golongan bangsawan dan paderi turut meninggalkan dewan, tetapi ahli Estet Ketiga masih tetap di kerusi masing-masing walaupun disuruh meninggalkan dewan oleh Juruacara Raja. Golongan revolusi mara ke hadapan Juruacara dan menyatakan “Pergi kamu beritahu ketua kamu, yang kami di sini adalah dengan kehendak rakyat dan kami tidak akan pulang melainkan di hujung senjata benet!”. 

Sebilangan golongan bangsawan dan paderi turut menyertai Perhimpunan Kebangsaan. Ini merupakan satu daripada peristiwa penting dalam Revolusi Perancis. Pemberontakan Rakyat Prinsip perjuangan golongan Majlis Perhimpunan (Estet Ketiga) yang terdiri daripada kelas menengah menjadi semakin ketara kerana mereka menuntut konsep persamaan dan keadilan dipraktikkan bukannya diberi sesuatu keistimewaan kepada rakyat berdasarkan hak atau warisan turun­ temurun. Mereka mahukan hak individu golongan yang berkemampuan dan berbakat khasnya kelas pertengahan diberi perhatian sewajarnya. 

Golongan miskin masih tidak mendapat tempat namun mereka turut menyertai kelas pertengahan menentang golongan raja, paderi, dan bangsawan kerana mereka juga bencikan keistimewaan yang diberi kepada golongan atasan selama ini. Walaupun golongan bangsawan istana dan ahli keluarga raja mahu menggagalkan Perhimpunan Kebangsaan dengan menubuhkan satu pasukan tentera di bawah pimpinan Marshall de Broglie tetapi mereka tidak mampu menghalang kehendak rakyat untuk menghapuskan sistem monarki. Malah sebahagian tentera de Broglie menyertai Perhimpunan Kebangsaan. 

Pada 14 Julai 1789, golongan pemberontak telah menggempur penjara Bastille di mana penjara ini menempatkan tahanan politik seperti Voltaire dan Diderot. Kejatuhan bangunan ini memberi semangat kepada golongan revolusi di kawasan bandar dan desa. Kejatuhan Bastille tidak dilupakan oleh rakyat Perancis hingga kini. Malah Hari Kebangsaan Perancis dirayakan pada 14 Julai setiap tahun sempena peristiwa ini. Persidangan Perhimpunan Kebangsaan Perhimpunan Kebangsaan telah mengadakan persidangan pada 4 Ogos 1789. Perhimpunan ini telah berjaya mengubal perlembagaan baru bagi negara Perancis, berjaya menghapuskan sistem feudal, perhambaan, dan golongan istimewa. Monopoli golongan bangsawan dihapuskan (tanpa pampasan), cukai yang sama untuk semua golongan, menghapuskan buruh paksa (corvee), cukai, dan semua jenis hak istimewa gereja ditarik balik.

 Seterusnya Perhimpunan Kebangsaan telah memperjuangkan kebebasan memiliki harta benda, perlindungan, dan menentang penindasan dengan meluluskan Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara (Declaration of the Rights of Man and the Citizen pada 27 Ogos 1789. Perisytiharan ini mengiktiraf semua manusia dilahirkan dan kekal bebas dan mempunyai hak yang sama. Rakyat bebas untuk bertukar-tukar pendapat dan tiada sesiapapun yang boleh dituduh, ditangkap dan ditahan, melainkan ditentukan oleh undang-undang. Setelah sistem feudal dihapuskan, sistem pentadbiran baharu dibentuk. Perancis telah dibahagikan kepada 83 kawasan, luasnya lebih kurang sama besar dan sama jumlah penduduknya. 


Setiap kawasan (department) dibahagikan pula kepada daerah-daerah (cantons) dan commune. Penubuhan Kerajaan Raja Berperlembagaan Menjelang bulan Julai 1791, Majlis Perhimpunan Kebangsaan telah menyiapkan satu perlembagaan baru yang ditandatangani oleh Raja Louis XVI. Berdasarkan idea Montesquieu melalui teori pengasingan kuasa yang diutarakannya, kerajaan dibahagikan kepada tiga cabang iaitu badan legislatif, badan eksekutif, dan badan judisiari. Pemerintahan raja berperlembagaan berlangsung selama setahun kemudian sistem pemerintahan Perancis bertukar menjadi republik. Pengisytiharan Kerajaan Republik Keadaan negara Perancis masih tidak aman iaitu berlaku perpecahan dalam kalangan pendukung revolusi, iaitu golongan jacobin dan girondin. Perancis terlibat dalam peperangan dengan negara jiran mereka, iaitu Austria dan Prusia. Keputusan perang diambil kerana ancaman puak imigres (bangsawan yang melarikan diri) yang bekerjasama dengan kedua­-dua kuasa berkenaan. Maharaja Austria, Francis II dan Raja Frederick William II dari Prusia terlibat dalam peperangan ini kerana mahu mempertahankan sistem monarki di Perancis.


 Pada bulan April 1782, Perancis mengisytiharkan peperangan terhadap Austria. Manakala Raja Louis XVI telah ditahan dalam penjara. Pada bulan September 1792, Perhimpunan Perundangan digantikan dengan Constitutional Convention. Perkembangan ini menyebabkan negara Perancis diisytiharkan sebagai sebuah republik. Pemerintahan Diktator Oleh Golongan Jacobin Dalam keadaan kacau-bilau dari ancaman luar itu, sebuah badan telah ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal dalam negeri iaitu Jawatankuasa Keselamatan Awam. Jawatankuasa ini banyak dianggotai oleh pengikut golongan Jacobin yang dipimpin oleh Maximilien Robespierre Danton dan Marat. Pemerintahan diktator yang dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas yang berlaku dari bulan Jun 1793 hingga Julai 1794. Kumpulan ini mewujudkan Mahkamah Revolusi dan menggubal Undang-undang Syak. Sesiapa sahaja yang disyaki musuh revolusi dan golongan yang menyokong raja dihukum pancung dengan menggunakan gilotin. Dikatakan pada zaman ini lebih 40 ribu orang dijatuhkan hukuman mati. 

Malah, Raja Louis XVI dipancung dengan menggunakan gilotin pada 21 Januari 1793 manakala isterinya iaitu Marie Antoinnette juga dipancung menggunakan gilotin 16 Oktober 1793. Robespierre juga dikenakan hukuman pancung dengan gilotin oleh puak-puak yang menyokong parlimen. Selepas kematian Robespierre pada 28 Julai 1794, berakhirlah Zaman Pemerintahan Ganas di Perancis. Keadaan tidak stabil berlarutan sehinggalah munculnya Napoleon Bonaparte mengambil alih kuasa pemerintahan di Perancis pada penghujung tahun 1799. Penubuhan Kerajaan Directory Selapas tamat pemerintahan ganas, sebuah perlembagaan baru diperkenalkan pada bulan Oktober 1794. 

Dengan itu, Constitutional Convention telah dibubarkan dan diganti dengan kerajaan baru yang dikenali sebagai directory untuk mentadbir kerajaan. Badan perundangan dan badan eksekutif telah ditubuhkan untuk melincinkan pentadbiran. Badan perundangan terbahagi kepada 2 buah majlis iaitu Majlis Orang Tua (Council of Elders) dan Majlis Lima Ratus (Council of Five Hundred). Golongan yang memiliki harta berhak untuk mengundi dalam pilihan raya serta menjadi ahli badan perundangan. Badan eksekutif pula berada di tangan di directory yang dianggotai oleh 5 orang. Pemerintahan kerajaan ini berakhir pada tahun 1799 apabila ia digulingkan oleh Napoleon Bonaparte. 

No comments:

Post a Comment