Wednesday, January 20, 2016

SISTEM PEMBESAR DI CHINA

SISTEM PEMBESAR DI CHINA 

Pembesar di China


Kedudukan Sistem pembesar di negara-negara Asia Timur termasuk China masih mengamalkan sistem feudal. Berdasarkan sistem ini pembesar mempunyai kuasa yang terhad dan bergantung kepada sokongan raja atau maharaja. Dalam masa yang sama pembesar mempunyai tanggungjawab terhadap pengikutnya dan ini penting bagi melaksanakan tugasnya terhadap raja.  


Di China, pembesarnya terdiri daripada pembesar peringkat pusat dan pembesar peringkat wilayah. Kebanyakan golongan pembesar ini merupakan mereka yang lulus Peperiksaan Perkhidmatan Awam dalam kurikulum Confucius yang merupakan falsafah moral bagi masyarakat China klasik. 

Terdapat juga pembesar daripada kalangan golongan bangsawan atau tentera yang dilantik oleh maharaja. Maharaja menduduki lapisan teratas diikuti golongan bangsawan, golongan terpelajar/sarjana, golongan petani, golongan pertukangan, saudagar/peniaga dan golongan askar. Golongan bangsawan memiliki wilayahnya tersendiri yang ditauliahkan oleh maharaja. Mereka ini berkuasa mentadbir wilayah masing-masing. Golongan bangsawan di China adalah mereka yang lulus dalam Peperiksaan Awam. Peperiksaan awam ini mempunyai empat tahap iaitu peperiksaan bandar, peperiksaan jajahan, peperiksaan wilayah dan peperiksaan istana yang dijalankan di hadapan maharaja sendiri. 

Mereka yang lulus dalam peperiksaan awam akan ditempatkan di kementerian-kementerian yang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar kerajaan. Golongan ini jugalah yang menganggotai Imperial Secretariat dan Imperial Cancelory. Kesemua dasar yang digubal diperingkat pusat akan dilaksanakan diperingkat wilayah. Pelaksanaanya akan dipertanggungjawabkan kepada pembesar bawahan di Jabatan Hal Ehwal Negara. 

Terdapat pelbagai jenis jabatan yang dibentuk seperti Jabatan Awam, Jabatan Hukuman, Jabatan Perkhidmatan, Jabatan Hasil dan Cukai, Jabatan Upacara serta Adat Istiadat dan Jabatan Penapis. Golongan sarjana atau gentri merupakan pembesar tempatan yang membantu pembesar-pembesar peringkat wilayah. Mereka ini sebenarnya golongan terpelajar tetapi berkhidmat secara sukarela kepada pembesar wilayah yang dilantik oleh maharaja. Golongan Gentri ini bertindak sebagai orang tengah antara pembesar kerajaan dengan rakyat jelata di kawasan mereka sendiri. 

Terdapat juga pembesar yang bukan golongan bangsawan. Mereka ini berpengaruh diperingkat wilayah kerana memiliki angkatan tentera mereka sendiri. Golongan ini bertanggungjawab ke atas wilayah mereka sendiri dan bersedia membantu dari segi ketenteraan kepada kerajaan pusat pada bila-bila masa. 

Peranan Pembesar di Peringkat Pusat 

1.     Raja atau maharaja China membahagikan tiga fasa pentadbiran, iaitu pentadbiran awam, pentadbiran ketenteraan dan pentadbiran tempatan di bawah badan pengawas bagi melancarkan pemerintahannya dalam memastikan keamanan dan ketenteraman negara.

 2.     Dalam pemerintahan dan pentadbiran pusat, maharaja China memecahkan pentadbiran kepada beberapa unit atau institusi, iaitu Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi (Enam Badan Menteri), dan Censorate (Lembaga Penapis).  

 3.     Institusi Sekretariat Agung terdiri daripada 3 hingga 6 orang setiausaha agung yang dipilih oleh maharaja China.  Peranan Sekretariat Agung: a)     Membantu maharaja dalam menyelia dan menyelaras 6 badan kementerian dalam pentadbiran pusat. b)     Memaklumkan kepada maharaja segala perjalanan dalam 6 badan kementerian.

 4.     Maharaja dibantu oleh Majlis Tertinggi.  Majlis ini menjadi badan penasihat yang penting kepada raja atau maharaja. 

Ciri-ciri Majlis Tertinggi ialah :

 a.      Dibahagikan kepada enam kementerian. 

b.      Setiap kementerian akan dikawal oleh seorang pegawai kanan atau Shangschu.  Sangschu akan dibantu oleh beberapa pegawai rendah dalam setiap urusan berdasarkan kementeriannya. 

5.   Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Personal atau Ministry of Personal terdiri daripada Lembaga Personal, Lembaga Kewangan, Lembaga Adat, Lembaga Perang, Lembaga Hukuman, dan Lembaga Kerja-kerja Awam. Terdapat 4 jabatan utama yang bertanggungjawab terhadap pelantikan, penganugerahan, rekod perkhidmatan dan penilaian prestasi.

 a.      Kementerian Kewangan terdiri daripada 13 orang pegawai dan setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengawal salah satu daripada 13 provinsi dan mewakili 4 bahagian yang khusus, iaitu penduduk, akaun awam, akaun khusus, dan akaun pertanian atau tanaman.  Kementerian ini menyimpan kewangan negara, memastikan kekayaan maharaja, serta menguruskan perbelanjaan negara dengan baik. 

b.      Kementerian Adat dibahagikan kepada 4 jabatan yang bertanggungjawab kepada adat istiadat, pengorbanan, penerimaan tetamu, dan barangan.  Kementerian ini juga menguruskan hal ehwal agama Buddha dan Taoisme.  Anggotanya terdiri daripada golongan cendekiawan.  Kementerian ini turut mengendalikan Sistem Peperiksaan Kerajaan dan melaporkan kepada maharaja sama ada pelajar tersebut layak memegang jawatan atau tidak.

 c.      Kementerian Perang mempunyai 4 jabatan yang bertanggungjawab terhadap pelantikan pegawai, pengawasan operasi, peralatan, dan pembekalan kelengkapan tentera. Oleh yang demikian, kalangan ketua-ketua tentera sering mendapat tempat istimewa dalam kerajaan. 

d.      Kementerian Keadilan terbahagi kepada 13 jabatan berasaskan prinsip setiap satu di setiap provinsi. 

e.      Kementerian Kerja Raya dibahagikan kepada 4 jabatan dan berfungsi mengawal beberapa gudang dan kilang.  Kementerian ini bertanggungjawab dalam kerja pembinaan, mendapatkan guna tenaga untuk perkhidmatan awam, pembuatan barang untuk kerajaan, komunikasi laut dan darat, penyelarasan timbangan, dan mengawal pengeluaran barangan tertentu dari kawasan pergunungan dan tasik di China.   

 6.   Maharaja China menubuhkan Lembaga Penapis atau Censorate  untuk memastikan pembesarnya menjalankan arahan serta menjadi mata dan telinga maharaja.

 Ciri-ciri Lembaga Penapis : 

(a) Terdiri daripada 2 orang Censor, beberapa timbalan, dan  4 pegawai rendah yang bertanggungjawab dalam menguruskan surat-menyurat  Censorate dan urusan pentadbiran.

 (b)  Kuasa utama Censorate terletak pada 110 pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk membendung amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa, dan ketidakcekapan.

 (c)  Pada zaman Dinasti Ching, maharaja menempatkan 24 orang Censorate di Peking atau ibu kota dan lebih 56 orang Censorate di wilayah. Jabatan ini berhubung terus dengan maharaja sekiranya terdapat pembesar wilayah yang ‘curang’ terhadap maharaja. Secara langsung ini merupakan satu langkah maharaja untuk mengekalkan kawalannya ke atas pembesar wilayah tersebut dan memudahkan maharaja untuk mengambil tindakan sekiranya kedudukannya terancam atas perlakuan pembesar berkenaan. Justeru jelas menunjukkan bahawa pembesar pusat amat berperanan untuk mengukuhkan kedudukan maharaja. Peranan Pembesar di 

Peringkat Wilayah 

1.   Dalam pentadbiran pembesar di peringkat wilayah, sering kali kalangan tentera dilantik sebagai pembesar wilayah dalam usaha memastikan wilayah tersebut berada dalam keadaan aman dan tenteram serta mematuhi segala arahan daripada kerajaan pusat. Selain golongan tentera, terdapat juga golongan sarjana atau official gentri/ Shan-shin diberikan peranan untuk mengetuai pentadbiran di wilayah. Secara umumnya jawatan pembesar wilayah di China dikenali dengan nama Gabenor. 

2.   Dalam pentadbiran semasa Dinasti Ching (Manchu) Gabenor dibantu oleh pegawai-pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja seperti Bendahari dan Hakim.  Bendahari bertugas sebagai bendahari amal di wilayahnya.  Hakim bertugas mengawal undang-undang jenayah dan bidang kuasa rayuan dalam perkara-perkara jenayah, serta menjadi Pengawal Garam dan Pegawai Bijirin.  Manakala, Tao-tai ialah seorang pegawai yang bertugas dalam pentadbiran khas dalam lingkungan dan jajahan pula dikawal oleh ketua jajahan. 

3.   Dalam melaksanakan tugasnya memegang amanah “mandat dari syurga”, maharaja amat bergantung kepada kekuatan angkatan tentera. Oleh itu jawatan ketua-ketua tentera sering mendapat tempat istimewa dalam kerajaan. 

4.   Justeru pembesar wilayah juga dilantik dalam kalangan bijak pandai (gentry) yang telah lulus pendidikan Confucius.

 Keistimewaan pembesar wilayah: 

a)     Dibenarkan mengubah dasar yang dibentuk oleh pemerintah pusat dengan kebenaran adat istiadat dan keadaan setempat.

 b)     Diberi kebebasan bertindak dalam hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat tempatan dan menjalankan perintah mahajara. 

c)      Dianggap sebagai pemerintah separuh merdeka. 

d)     Bebas ditukarkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain di seluruh empayar atas arahan maharaja.

 e)      Menjaga keamanan dan ketenteraman di wilayah-wilayah masing-masing. 

f)       Menghantar hasil, cukai atau wang kepada kerajaan pusat. Kesimpulan Keseimbangan antara kalangan tentera yang menjadi tulang belakang dalam pertahanan negara serta kehadiran kalangan sarjana dalam sistem pembesar di negara China telah menjadikan pemerintahan China mampu bertahan daripada sebarang ancaman luar sehingga abad ke-19. 

No comments:

Post a Comment