Wednesday, January 20, 2016

PERANG SAUDARA DI AMERIKA (1861-1865)




Perang Saudara berlaku antara negeri-negeri utara dengan negeri­-negeri selatan Amerika Syarikat. Perang ini melibatkan 22 buah negeri utara Amerika Syarikat dengan 11 buah negeri di selatan Amerika Syarikat. Gabungan negeri-negeri utara dikenali sebagai Kesatuan Amerika Syarikat manakala negeri-negeri selatan dinamakan Gabungan negeri-negeri Amerika. Perang Saudara ini berlanjutan selama empat tahun iaitu dari tahun 1861 hingga 1865. 

Faktor-faktor yang Menyebabkan Tercetus Perang Saudara Masalah Hamba Abdi Masalah hamba abdi telah menjadi salah satu faktor yang menyebabkan tercetus Perang Saudara di Amerika. Amalan perhambaan bermula sejak orang Inggeris mengasaskan petempatan di Amerika. Pembukaan ladang-ladang kapas dan tembakau menyebabkan tuan-tuan tanah memerlukan hamba abdi untuk bekerja di ladang. Hamba abdi dari Afrika (orang Negro) digunakan untuk bekerja di ladang-ladang di selatan Amerika. Dalam pada itu, lahir kesedaran untuk menghapuskan amalan perhambaan di Amerika. Pada tahun 1859, John Brown memimpin pemberontakan hamba di bahagian selatan Amerika. Parti Republik turut berjuang untuk menghapuskan amalan perhambaan di Amerika. 

Pada tahun 1861, Abraham Lincoln yang mengetuai Parti Republik dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-16. Beliau menentang amalan perhambaan dan berjaya menghapuskan amalan ini pada tahun 1863. Tindakan Abraham Lincoln membasmi amalan perhambaan mencetuskan Perang Saudara. Negeri-negeri Selatan Menarik Diri dari Kesatuan Amerika Syarikat Tindakan Abraham Lincoln membasmi amalan perhambaan menyebabkan negeri-negeri selatan menarik diri daripada kesatuan Amerika Syarikat. Pada tahun 1861, tujuh buah negeri selatan membuat keputusan untuk berpisah daripada Kesatuan Amerika Syarikat. Negeri yang paling awal berpisah daripada Kesatuan Amerika Syarikat ialah Carolina Selatan, kemudian diikuti oleh Virginia, Georgia, Carolina Utara, Florida, Alabama, Mississippi, Louisiana, Tennessee, Arkansas dan Texas. Pada 4 Februari 1861, negeri-negeri tersebut menubuhkan kerajaan baru yang dipanggil Gabungan Negeri-Negeri Amerika. Jefferson Davis telah dilantik sebagai presiden Gabungan Negeri­-Negeri Amerika. Perbezaan antara Negeri-negeri Utara dan Negeri-negeri Selatan Terdapat perbezaan yang amat ketara antara negeri-negeri utara dan selatan Amerika Syarikat. Perbezaan tersebut dapat dikesan dalam aspek kekayaan, agama, kehidupan dan bahasa. Penduduk di negeri-negeri selatan melibatkan diri dalam aspek pertanian manakala penduduk di utara terlibat dalam perusahaan. Tidak Berpuas Hati terhadap Undang-undang Kerajaan Pusat Negeri-negeri selatan tidak berpuas hati dengan undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan pusat. Mereka berpendapat undang-undang tersebut digubal untuk melindungi kepentingan penduduk di negeri-negeri utara. Negeri-negeri selatan membantah tindakan kerajaan pusat mengenakan cukai yang tinggi terhadap barang-barang import. Mereka berpendapat tindakan tersebut boleh meningkatkan harga barang-barang yang diimport. Langkah ini turut menjejaskan kedudukan negeri-negeri selatan yang bergantung kepada barang-barang import. 

Peristiwa Perang Saudara Perang Saudara meletus apabila tentera negeri-negeri selatan (tentera Konfederasi) menyerang Fort Sumter pada 12 April 1861. Pasukan tentera negeri-negeri selatan dipimpin oleh Jeneral Robert Lee dan Jonathan Jackson. Manakala, tentera negeri-negeri utara (Tentera Kesatuan) dipimpin oleh Jeneral Ulysses Grant, Thomas Sheridan dan Jeneral William Sherman. Pada peringkat awal iaitu antara tahun 1861-1863, tentera selatan memperoleh kemenangan. Namun, selepas tahun 1862 tentera negeri-negeri utara mula mengukuhkan kedudukan mereka. Tentera utara memiliki beberapa kelebihan berbanding tentera selatan. Antara kelebihannya adalah bilangan penduduk yang ramai iaitu seramai 19 juta orang berbanding tentera selatan hanya seramai 9 juta orang. Di negeri-negeri utara pula terdapat lebih 100 000 buah syarikat luar di negeri-negeri utara terutama kewujudan industri membuat senjata. Manakala negeri selatan hanya mempunyai 18 000 buah syarikat sahaja. Pihak utara juga mengawal rangkaian jalan kereta api utama serta mempunyai 2 juta orang askar manakala negeri selatan hanya mempunyai 800 000 orang askar. Pada bulan September 1862, tentera selatan pimpinan Jeneral Lee mengalami kekalahan di Maryland. Pertempuran terakhir dalam Perang Saudara ini berlaku pada bulan Julai 1863 di Gettysburg.

 Dalam peperangan tersebut, tentera selatan pimpinan Jeneral Lee seramai 100 000 orang telah berperang dengan 90 000 orang tentera pihak utara. Dalam peperangan tersebut, tentera selatan dikalahkan oleh tentera utara. Dalam peperangan tersebut, dianggarkan lebih kurang 40 000 orang terbunuh di kedua-dua belah pihak. Selepas peperangan tamat, Abraham Lincoln telah membuat ucapan yang termasyhur yang dikenali sebagai “Ucapan Gettysburg.” Ucapan tersebut berakhir dengan kata-kata “...kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...” Selepas kekalahan di Gettysburg, negeri-negeri di selatan tidak dapat membaiki kedudukannya. Pada 9 April 1865, Jeneral Lee telah menyerah diri kepada Jeneral Ulysses Grant di Appomatox. Peristiwa tersebut menandakan Perang Saudara di Amerika pun berakhir. Kesan Perang Saudara Perang Saudara menyebabkan lebih setengah juta orang Amerika telah terbunuh. Pada tahun 1865, amalan perhambaan telah dihapuskan di seluruh Amerika Syarikat. Perang ini menyebabkan negeri-negeri utara dan negeri-negeri selatan bersatu semula. 

Perang Saudara ini menyelamatkan Amerika Syarikat daripada berpecah kepada dua. Pada 14 April 1865, Abraham Lincoln telah ditembak mati oleh seorang penyokong pihak selatan, iaitu John Wilkes Booth. Selepas tahun 1865, Amerika Syarikat mengalami pembangunan pesat dalam bidang sosial dan ekonomi. Walaupun mencapai kemajuan yang pesat, Amerika Syarikat menghadapi cabaran dalam menyatupadukan masyarakat yang berbilang bangsa seperti orang Inggeris, Sepanyol, Perancis, pendatang­-pendatang dari Itali, Greece, Rusia dan Poland. Dalam usaha untuk menyatukan rakyat berbilang bangsa dan keturunan, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar. Usaha untuk menyatukan masyarakat Amerika Syarikat telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Amerika Syarikat membangun sebagai sebuah negara yang bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

No comments:

Post a Comment