SISTEM BERMAHARAJA DI CHINA
Kemunculan sistem pemerintahan monarki dalam sejarah China dapat dikesan sejak zaman dinasti Hsia (2205-1755 S.M), kemudian dinasti Shang, dinasti Chin, dinasti Sung, dinasti Sui, dinasti Tang, dinasti Ming, dan dinasti Ching. Ketua pemerintahan kerajaan China bergelar maharaja. Gelaran maharaja buat pertama kalinya telah digunakan oleh Shih Huang Ti, pemerintah dinasti Chin.
Dalam sistem pemerintahan monarki, maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran. Kedudukannya pula diperkukuh menerusi konsep "mandat dari syurga" yang memberikan kuasa spiritual kepada seseorang pemerintah. Dalam urusan pentadbiran pula, maharaja dibantu oleh segolongan pembesar yang akan menguruskan pentadbiran di peringkat pusat dan wilayah. Sistem pentadbiran bercorak birokratik turut diwujudkan bagi melicinkan lagi urusan pentadbiran. Dengan adanya sistem pemerintahan yang teratur dan sistematik ini, kerajaan pusat dapat mengawal wilayah serta tanah jajahannya yang luas.
Walau bagaimanapun, sistem pemerintahan monarki mengalami kemerosotan pada zaman dinasti Ching dan berakhir pada tahun 1912. Revolusi 1911 telah berjaya menamatkan pemerintahan bercorak monarki di China dan digantikan dengan pemerintahan bercorak republik. Pemerintahan Bermaharaja Di China Raja Yu merupakan pemerintah pertama yang memulakan pemerintahan bercorak dinasti yang telah mengasaskan dinasti Hsia.
Shih Huang Ti (221-210 S.M.) merupakan pemerintah dinasti Chin yang berjaya membentuk empayar China pula merupakan pemerintah pertama yang menggunakan gelaran maharaja atau "huang ti". Gelaran maharaja digunakan bagi melambangkan kuasa serta kekuasaan yang ada pada seseorang pemerintah untuk memerintah. Selain itu, terdapat juga gelaran lain yang digunakan oleh pemerintah seperti tien tzu (putera syurga).
Dalam pemerintahan, maharaja mempunyai kedudukan tertinggi dan berkuasa mutlak. Namun kuasa yang miliki oleh seseorang maharaja dikawal oleh Undang-undang Moral, Klasik Confucius, dan Majlis Tertinggi Negara. Kuasa dan kedudukan seseorang maharaja dalam tamadun China berdasarkan konsep "mandat dari syurga". Mengikut konsep ini, maharaja dianggap sebagai anak syurga dan diberi mandat untuk memerintah di muka bumi. Sebagai anak syurga, rakyat tidak boleh mempersoalkan kuasa yang dimiliki oleh raja.
Rakyat juga dikehendaki memberikan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada maharaja. Sebaliknya mandat tersebut akan ditarik balik dan maharaja akan dipersalahkan bagi setiap kepincangan yang berlaku dalam pemerintahannya walaupun disebabkan oleh kejadian bencana alam. Contohnya seperti kemarau, banjir, dan kebuluran kerana keadaan ini telah menimbulkan kesengsaraan kepada rakyat. Apabila mandat ditarik balik, rakyat boleh menggulingkan pemerintahan maharaja tersebut untuk diganti dengan pemerintahan maharaja yang baharu mendapat mandat. Dalam menjalankan pentadbiran pula, maharaja dibantu oleh golongan pembesar di peringkat pusat dan wilayah.
Diperingkat pusat pentadbirannya bercorak birokratik di bawah penguasaan golongan pembesar. Manakala pentadbiran di peringkat wilayah dikuasai oleh pentadbir awam, gabenor tentera, dan pengawas. Maharaja memberi kuasa autonomi kepada pentadbir-pentadbir di peringkat wilayah. Sekitar abad ke-16 hingga abad ke-20, China diperintah oleh dinasti Ming (1368-1644) dan kemudiannya oleh dinasti Ching (1644-1911). Pemerintahan yang diamalkan kedua-dua dinasti ini bercorak autokrasi. Kedudukan Maharaja Maharaja menduduki hierarki teratas dalam struktur sosial dan merupakan ketua negara. Dalam sistem pemerintahan beraja, maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan terutama dalam bidang eksekutif, perundangan, dan kehakiman.
Dalam menjalankan urusan pentadbiran, maharaja dibantu oleh kakitangan awam yang terdiri daripada golongan bangsawan. Peranan Maharaja Dalam Pemerintahan Bidang Politik Maharaja berkuasa menetapkan dasar kerajaan dan memutuskan dasar kerajaan. Mengendalikan hal ehwal luar negara iaitu maharaja berkuasa untuk menandatangani perjanjian dengan kuasa-kuasa asing, menghantar utusan atau perwakilan ke negara-negara lain, menerima kunjungan duta-duta asing ke China dan menetapkan dasar luar kerajaan dengan negara-negara lain.
Menguruskan hal ehwal kakitangan awam iaitu berkuasa dalam melantik dan melucutkan jawatan pegawai-pegawai kerajaan, meluluskan kenaikan pangkat kakitangan kerajaan, mengurniakan gelaran dan darjah kebesaran kepada pembesar yang setia kepadanya. Menguruskan pentadbiran pusat iaitu maharaja merupakan ketua pentadbir di peringkat pusat. Baginda menjalankan pentadbiran dengan dibantu oleh Sekretariat Agung, Majlis Tertinggi, dan Lembaga Penapis.
Majlis Penasihat memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada maharaja dan mempunyai enam buah kementerian iaitu Kementerian Personal, Kementerian Kewangan, Kementerian Adat, Kementerian Perang, Kementerian Keadilan, dan Kementerian Kerja Raya. Lembaga Penapis berperanan mengawasi dan memaklumkan segala tindak-tanduk pembesar kepada maharaja. Menguruskan pentadbiran wilayah iaitu maharaja berkuasa melantik gabenor bagi mengendalikan pentadbiran di peringkat wilayah. Gabenor dibantu oleh pesuruhjaya bagi menguruskan hal kewangan, kehakiman, dan pendidikan.
Dalam bidang ketenteraan, komander dilantik untuk mengawal wilayah. Pentadbiran daerah diterajui oleh majistret daerah yang berperanan untuk mengutip cukai, memelihara keamanan, dan menyelesaikan pertikaian. Pentadbiran peringkat kampung, bandar, dan pekan dikendalikan oleh penduduk tempatan. Dalam bidang kehakiman pula maharaja mempunyai kuasa mutlak dalam bidang perundangan iaitu berkuasa untuk mengisytiharkan suatu undang-undang, berkuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap pesalah, mengendalikan kes-kes rayuan, dan berhak memberikan pengampunan kepada seseorang yang melakukan kesalahan. Dalam bidang ketenteraan, maharaja merupakan ketua tentera negara di mana baginda akan mengetuai pasukan tentera ketika menghadapi musuh di medan peperangan, berkuasa melantik panglima perang di peringkat pusat dan wilayah. Baginda juga berperanan dalam mengukuhkan ketahanan dan pertahanan negara, merancang ekspedisi ketenteraan bagi mempertahankan negara daripada ancaman musuh, merancang dasar ketenteraan negara dan berkuasa mengawal pengawal-pengawal diraja.
Bidang ekonomi Menguasai segala sumber ekonomi negara termasuk hasil bumi dan kegiatan perdagangan.
Baginda berkuasa melantik pegawai-pegawai untuk mengendalikan hal ehwal ekonomi negara, menerima sumber pendapatan daripada kutipan hasil cukai, mengurniakan tanah kepada para pembesar dan tanah tersebut akan diusahakan oleh para petani dan pembesar akan menyerahkan sebahagian daripada hasil tanah tersebut kepada maharaja.
Bidang sosial Maharaja mempunyai tanggungjawab moral bagi menjaga kepentingan rakyatnya dengan menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat jelata. Maharaja akan memberi penghormatan kepada upacara-upacara ritual yang diadakan. Baginda juga tidak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan adat dan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman
Bidang keagamaan pula, maharaja merupakan ketua agama dan berkuasa melantik pendeta dan ketua-ketua agama bagi menjalankan upacara ritual. Baginda akan mengetuai upacara keagamaan yang diadakan di dalam negara. Dalam bidang keintelektualan, baginda ketua dalam peperiksaan awam China iaitu baginda akan mengarahkan pengendalian peperiksaan awam di peringkat daerah dan Bandar.
Baginda akan terlibat dalam pemilihan calon terbaik dalam peperiksaan awam pada peringkat kebangsaan. Baginda akan memberi ceramah kepada penuntut-penuntut di Kolej Imperial.
No comments:
Post a Comment