Wednesday, January 20, 2016

MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND: CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI

MASYARAKAT INDUSTRI DI ENGLAND: CIRI-CIRI MASYARAKAT INDUSTRI 

Contoh Soalan: Perkembangan sains dan teknologi merupakan salah satu ciri wujudnya masyarakat industri di England pada abad ke 18 dan 19 Masihi. Bincangkan.   

PENGENALAN Masyarakat industri merujuk kepada masyarakat yang bergantung kepada sektor  perindustrian. Mereka terlibat dengan pengeluaran barangan dan perkhidmatan menggunakan mesin. Revolusi Perindustrian bermula di England selepas tahun 1750.Revolusi ini bermula di England selepas berlaku perubahan yang pesat dalam bidang pertanian dan dikaitkan dengan penemuan mesin wap di Eropah. Perkembangan sains dan teknologi merupakan ciri penting wujudnya masyarakat industri di England.Namun masyarakat industry di England juga bercirikan kegiatan ekonomi,pengkhususan pekerjaan,mobility sosial,kemunculan kelas baharu,dan urbanisasi. ISI 

1.  Kemajuan sains dan teknologi England mempunyai pengetahuan dan kelengkapan yang mencukupi untuk   mengungguli negara-negara lain dalam perindustrian. Beberapa rekaan dan ciptaan  ditemui. Para pencipta diberikan paten untuk hasil ciptaan mereka. Teknologi awal ialah penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Thomas Newcomen mencipta enjin berkuasa wap pada tahun 1702.Enjin ini digunakan dalam perusahaan melombong arang batu. James Watt telah memperbaiki enjin rekaan Thomas Newcomen.Enjin ciptaan beliau digunakan di England dan juga dieksport. 

2.  Kegiatan Ekonomi Menjalankan kegiatan ekonomi yang bertumpu  kepada pengeluaran barangan besar-besaran. Kegiatan ekonomi mereka bergantung kepada sektor perindustrian dan perlombongan. Mereka memberi tumpuan kepada perusahaan tekstil yang merupakan perusahaan  tertua di England. Kilang kapas pertama didirikan pada tahun 1790. Masyarakat industri juga menjalankan aktiviti ekonomi dalam sektor perlombongan. England menjadi pengeluar bekalan bahan mentah yang banyak seperti  arang batu dan bijih besi. Bekalan ini dari wilayah New Castle dan Wales. England  muncul sebagai pengeluar keluli terbesar dunia. Pada tahun 1860 England  mengeluarkan 80 juta tan metric arang batu dan 225000 tan metrik keluli. 

3. Pengkhususan Pekerjaan Mempunyai pengkhususan pekerjaan yang tersendiri. Masyarakat tertumpu dalam sektor pekerjaan perkilangan dan  mempunyai pekerjaan yang tetap. Penggunaan mesin juga telah digunakan secara meluas. Pekerja yang mempunyai kemahiran dan menghasilkan sesuatu barangan amat  diperlukan dalam kelompok masyarakat ini. Pekerja hanya perlu melakukan sebahagian kerja bagi menghasilkan  sesuatu barangan. Pembahagian  kerja  dan  pengeluaran  secara besar-besaran  telah mengurangkan  kos operasi serta meningkatkan pengeluaran. Penggunaan mesin menyemai benih oleh    Jethro tull membolehkan proses pembajakan berjalan lancar dan telah menambahkan hasil pengeluaran.

 4. Mobiliti Sosial Mobiliti sosial telah  berlaku  dalam  masyarakat industri.Kumpulan  masyarakat  ini  telah  berubah  dengan   wujudnya   kelas  pekerja  dan individu yang  tumbuh  dengan pesat   dalam  aspek  saiz  mahupun   kepentingan. Taraf  hidup  golongan  pekerja  telah  meningkat. Peningkatan  dalam  pengeluaran menyebabkan  mereka  menerima  pendapatan  yang tinggi. Ini meletakkan asas bagi kemunculan  golongan  kelas  menengah  dalam  masyarakat. Golongan kelas menengah terdiri  daripada golongan yang memiliki kilang, para peniaga, peguam dan jurutera. Golongan ini berkeinginan dan bersedia menerima risiko untuk mendapatkan kekayaan. 

5.  Kemunculan kelas Tergolong kepada dua kelas iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis  terdiri daripada  pemilik kilang, tuan tanah dan pengusaha lombong. Kelas pekerja pula ialah buruh dan pekerja kilang di kilang tekstil, kilang kimia dan kejuruteraan elektrik. Golongan pekerja amat bergantung kepada golongan kapitalis. Pada peringkat awal, proses perindustrian membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang. Selepas berlaku peningkatan dalam pengeluaran muncul golongan professional. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan pekerja meningkat. 

6.  Urbanisasi Perkembangan dalam bidang perindustrian telah membawa kepada perpindahan penduduk dari kawasan luar bandar  ke kawasan bandar. Masyarakat industri  merupakan  masyarakat yang tinggal di bbandar-bandar perindustrian. Proses migrasi telah berlaku ke kawasan bandar. Mereka bekerja di kilang atau sebagai pengusaha industri. Misalnya penghijrahan penduduk Ireland ke bandar-bandar besar di England. Menjelang tahun 1851 bandar-bandar seperti Lancashire, Yorkshire dan       Nottinghamshire menjadi tumpuan penduduk. Perkembangan ini membawa kepada proses  urbanisasi. 

7.  Masyarakat Literasi Masyarakat industri ialah masyarakat literasi.Mereka terdiri daripada kelompok masyarakat yang memiliki ilmu dalam bidang pendidikan. Kemajuan dalam industri telah menyebabkan perubahan kehidupan masyarakat kepada gaya hidup yang mewah, pertambahan sistem komunikasi dan pengangkutan, kehidupan yang lebih sihat dan mementingkan pendidikan. Masyarakat ini mula terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dan memperjuangkan  kepentingan mereka. Perjuangan mereka melalui parlimen dan sebanyak 61 wakil kelas  menengah berada di Parlimen pada pertengahan abad 18. KESIMPULAN Masyarakat industri di England mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan Revolusi Perindustrian di England.  Perkembangan masyarakat industri di England ini telah membawa kepada kemunculan  England sebagai kuasa imperialis yang baru pada akhir abad ke 19. 

No comments:

Post a Comment