Wednesday, January 20, 2016

PEMBAHARUAN TSAR PETER AGUNG

PEMBAHARUAN TSAR PETER AGUNG

 Pengenalan Sejarah Rusia bermula dengan kedatangan orang Rus pada tahun 862 M yang mengasaskan pemerintahan di Kota Kiev yang diketuai oleh Rurik. Selepas itu, bermula pemerintahan negara kota Kiev oleh Dinasti Rurik selama 700 tahun. Semasa pemerintahan Oleg, negara kota Kiev meluaskan jajahan takluk dengan menguasai Pskov, Moscow, Smolensk Tver dan Novgorod. Negara kota Kiev mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Yaraslov (1019-1054) iaitu beliau berjaya menguasai wilayah-wilayah seperti Suzdal, Riazan, Novgorod, Byeloozero, Tchernogov, Murom, Pereyaslav dan Smolensk. Beliau juga menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara­-negara Byzantium, Hungary, Poland, Norway dan Sweden. Menjelang abad ke-12 M, negara kota Kiev mengalami kemerosotan ekoran daripada serangan orang Monggol dan  pasukan tentera Monggol di bawah pimpinan Batu Khan berjaya menguasai negara kota Kiev. Selepas itu, bermula pemerintahan Monggol di Rusia yang berlanjutan hingga tahun 1480 yang dikenali sebagai kerajaan Golden Horde. Menjelang pertengahan abad ke-14 M, kerajaan Golden Horde mula mengalami kemerosotan akibat kebangkitan Moscow. Pada tahun 1380, pemerintah Moscow yang dikenali sebagai Dmitri berjaya menewaskan tentera Monggol di Kulikovo yang terletak berhampiran Sungai Don. Akhirnya, bermula era pemerintahan Moscow. Tsar Ivan III berjaya menyatukan seluruh Rusia di bawah pemerintahan pusat yang terletak di Moscow. Semasa pemerintahan Tsar Ivan III, Moscow muncul sebagai pusat pentadbiran, keagamaan dan perdagangan di Rusia.            

 Selepas kematian Tsar Ivan IV, bermula bibit-bibit kemerosotan dalam kerajaan Moscow ekoran daripada kekacauan yang berlaku dalam negeri. Pada tahun 1613, Michael Romanov telah dilantik sebagai Tsar baru untuk negara Rusia. Bermula pemerintahan Dinasti Romanov pada tahun 1613 dan berakhir pada tahun 1917. Terdapat beberapa orang Tsar di bawah pemerintahan Dinasti Romanov, antaranya ialah Tsar Peter Agung (1689-1725), Tsar Alexander I ( 1801-1825),Tsar Nicholas I (1825-1855), Tsar Alexander II (1855-1881), Tsar Alexander III (1881-1894) dan Tsar Nicholas II (1894-1917).   Institusi Pemerintahan Bermaharaja Zaman St. Petersburg Pemerintahan Tsar Peter Agung (1689-1725) Tsar Peter Agung merupakan pemerintah Rusia yang telah melakukan pelbagai pembaharuan dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan keagamaan. Pembaharuan yang dijalankan adalah didorong oleh pengalamannya ketika mengembara ke negara-negara Eropah Barat seperti Jerman, Belanda, Austria, Britain dan Perancis. Tsar Peter ingin menjadikan negara Rusia maju setanding dengan negara-negara Barat ini. 


Antara pembaharuan yang dilakukan oleh Tsar Peter Agung adalah seperti dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Bidang Politik Menyusun Semula Sistem Pentadbiran Rusia Semasa pemerintahan Tsar Peter Agung, sistem pentadbiran Rusia disusun semula dengan mewujudkan sistem pentadbiran pusat yang cekap dan teratur. Baginda melakukan rombakan dalam institusi-institusi pentadbiran seperti Duma, Zemskii Sabor dan Prikazi iaitu digantikan dengan Majlis Senat pada tahun 1711. Majlis Senat dianggotai oleh sembilan orang ahli. Sebuah badan yang dikenali sebagai Colleges ditubuhkan untuk mengurangkan beban tugas anggota Senat. Memindahkan Pusat Pemerintahan Pada tahun 1721, Tsar Peter Agung memindahkan pusat pentadbiran dan Moscow ke St. Petersburg untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peynerintah berkuasa mutlak di Rusia. Sistem pentadbiran yang cekap menyebabkan Tsar Peter Agung berjaya meluaskan kuasa dan menewaskan Turki dan Sweden. Dasar Peluasan Kuasa Tsar Peter Agung mengambil langkah-langkah untuk membina pasukan tentera yang kuat menangkis serangan musuh, mematahkan pemberontakan dalam negeri, dan meluaskan jajahan takluk Rusia. Pada tahun 1696, beliau melancarkan serangan kedua dan berjaya menguasai kubu tersebut daripada orang Tartar. Selepas menguasai Azov, Tsar Peter Agung melancarkan serangan terhadap Sweden. Tsar Peter Agung berjaya menewaskan tentera Sweden dalam pertempuran di Poltova. Peperangan dengan Sweden ditamatkan melalui Perjanjian Nystadt yang dimeterai pada tahun 1721. Menerusi Perjanjian Nystadt, Tsar Peter Agung berjaya menguasai Livonia, Estonia, Ingria dan Karelia dan Sweden. Kejayaan Tsar Peter Agung menyebabkan Rusia muncul sebagai sebuah empayar yang kuat di Eropah pada abad ke-18 M. Semasa pemerintahan Tsar Peter Agung, empayar Rusia telah mencapai zaman kegemilangan. 


Tsar Peter Agung meletakkan asas yang kukuh bagi Rusia mencapai kemajuan pada abad-abad seterusnya. Bidang Ekonomi Memajukan Sektor Perindustrian Untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan meningkatkan perbendaharaan negara, baginda telah membangunkan sektor perindustrian iaitu memberi penekanan kepada sektor industri berat dan industri pembuatan. Sektor perindustrian diletakkan di bawah penyeliaan kerajaan pusat di mana kerajaan pusat telah memberi pelbagai insentif dan subsidi untuk membangunkan sektor perindustrian. Sektor pembuatan barangan seperti tekstil, kaca dan barangan kulit turut dimajukan. Manakala industri berat seperti industri besi dan keluli juga telah dimajukan di Ural. Kilang membuat senjata dan peralatan perang didirikan oleh kerajaan untuk  menyediakan peralatan perang yang mencukupi. Penekanan yang diberikan oleh Tsar Peter Agung telah berjaya menarik pemodal-pemodal asing untuk mendirikan kilang di Rusia dan hasilnya banyak kilang didirikan di Rusia. Sebagai contoh, pada tahun 1682 terdapat 21 buah kilang  dan bertambah kepada 200 buah kilang pada tahun 1725. Menjelang abad ke-18 M, Rusia menjadi pembekal besi utama untuk pasaran di Eropah. Memantapkan sistem percukaian Tsar Peter Agung turut memperkenalkan pelbagai cukai untuk menambahkan perbendaharaan negara dan membiayai peperangan. Baginda memperkenalkan cukai tidak langsung bagi barangan keperluan harian dan cukai kepala pada tahun 1718. Cukai kepala dibayar mengikut jumlah individu dalam sesebuah isi rumah dan dibayar dalam bentuk wang tunai.

 Bidang Sosial Memajukan Bidang Pendidikan Tsar Peter Agung turut memberikan penekanan kepada kemajuan dalam bidang pendidikan. Baginda menghantar ramai golongan muda ke Barat untuk menuntut ilmu dan mempelajari kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Selain itu, baginda juga telah menubuhkan lebih banyak sekolah di Rusia antaranya sekolah The Navigator School, Naval Academy, Engineering Academy, dan Artillery Academy. Mata pelajaran yang diberikan penekanan ialah bidang aritmatik, geometri, geografi dan pelayaran. Baginda juga telah menubuhkan sebuah universiti yang dikenali sebagai The Imperial Academy of Science. Baginda juga memperkenalkan penerbitan surat khabar yang pertama di Rusia, mengubah sistem kalender Rusia dengan memperkenalkan sistem kalender Julius dan menggalakkan penterjemahan bahan-bahan bacaan dari luar negara. Menyusun Semula Pentadbiran Gereja 


Dalam bidang keagamaan, Tsar Peter Agung mengambil langkah untuk menyusun semula pentadbiran gereja bagi mengurangkan kuasa dan keistimewaan yang dimiliki oleh gereja. Baginda bertindak meletakkan pentadbiran gereja di bawah bidang kuasanya. Selepas kematian ketua Gereja Kristian Ortodoks pada tahun 1700, baginda tidak melantik penggantinya. Malah memperkenalkan badan yang dikenali sebagai Holy Synod untuk mengambil alih peranan ketua Gereja Kristian Ortodoks. Badan ini dipengerusikan sendiri oleh baginda dengan dibantu oleh biskop-biskop yang dilantik oleh kerajaan pusat sebagai anggotanya. 

No comments:

Post a Comment