Wednesday, January 20, 2016

REVOLUSI INDUSTRI DI JERMAN: FAKTOR-FAKTOR PERKEMBANGAN

REVOLUSI INDUSTRI DI JERMAN: FAKTOR-FAKTOR PERKEMBANGAN

 Masyarakat Industri di Jerman muncul apabila berlakunya revolusi Perindustrian di Jerman. Revolusi industri di Jerman berlaku di tahap kedua di Eropah. Ciri utama Revolusi Perindustrian tahap kedua ialah kapital kewangan mengatasi kapital industri melibatkan pelaburan bank dan syarikat insurans; pengumpulan modal yang besar; pengasingan pemilikan daripada pengurusan; dan perkembangan syarikat holdings. Teknologi yang digunakan dalam tahap kedua terdiri daripada pelbagai bahan, sumber, dan bentuk. Pada tahap ini, muncul industri baharu seperti elektrik, kimia, petroleum, dan logam ringan. Menjelang abad ke-19, ahli kimia dan metalurgi Jerman mencipta teknologi baharu untuk menghasilkan barangan daripada arang batu dan besi. Terdapat banyak faktor yang membawa kepada perkembangan industri dan revolusi perindustrian yang berlaku ini telah memberi kesan terhadap ekonomi serta sosial di Jerman. 

FAKTOR PERKEMBANGAN REVOLUSI PERINDUSTRIAN

 1. Penyatuan Jerman Penyatuan Jerman pada tahun 1871 oleh Otto von Bismark telah meletakkan asas yang kukuh bagi pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. Selepas penyatuan, Jerman muncul sebagai sebuah negara perindustrian yang unggul di Eropah. Penyatuan Jerman ini telah membawa kepada kemajuan sistem pengangkutan dan perhubungan, kemajuan dalam ekonomi dan kestabilan politik. Keadaan ini telah merangsang pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. Selepas tahun 1878, kerajaan mengamalkan dasar memberi perlindungan kepada sektor perindustrian. 

2. Kemajuan Pertanian Kemajuan dalam bidang pertanian meletakkan asas bagi pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. Selepas penyatuan Jerman, sektor pertanian mula mengalami kemajuan dan berkembang dengan pesat melalui penerbitan karya mengenai teknologi pertanian seperti  Introduction to the Knowledge of English Agriculture-Principles of Rational Agriculture pada tahun 1789 oleh Albrecht Thaer. Justus von Liebig menjalankan kajian tentang penggunaan kimia bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Penggunaan teknologi moden dan kaedah saintifik telah menyebab­kan berlaku peningkatan dalam pengeluaran hasil pertanian. Kerajaan turut memberi sumbangan dalam memajukan bidang pertanian melalui penubuhan sekolah pertanian dan universiti. Institusi ini telah menjalankan kajian dalam bidang pertanian dan menawarkan mata pelajaran yang berkaitan dengan bidang pertanian. Sebelum Perang Dunia Pertama, terdapat Iebih kurang 2000 buah sekolah pertanian di seluruh Jerman. Antara tahun 1905 hingga 1912, Jerman mendahului negara-negara lain dalam pengeluaran hasil pertanian.

 3. Kemajuan Dalam Bidang Penyelidikan Kemajuan dalam bidang penyelidikan merangsang pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. Banyak makmal penyelidikan telah dibina oleh syarikat kimia dan elektrik di Jerman bagi membolehkan ahli-ahli kimia dan fizik menjalankan kajian dan penyelidikan. Penyelidikan ini telah menyebabkan Jerman berjaya mencipta pelbagai peralatan dan inovasi baharu. Perkembangan ini telah menyebabkan Jerman muncul sebagai pemimpin dunia dalam industri kimia dan elektrik pada akhir abad ke-19. 

4. Penubuhan Koperasi Koperasi memainkan peranan dalam perkembangan sektor perindustrian di Jerman dengan memberikan bantuan kewangan kepada penduduk untuk melibatkan diri dalam perindustrian. Kesatuan kredit juga ditubuhkan di seluruh Jerman bagi merangsang pertumbuhan sektor perindustrian dan memberi bantuan kewangan kepada penduduk bandar seperti Kesatuan Kredit Schulze Delitzsch. Menjelang tahun 1911, terdapat lebih kurang 25 000 buah kesatuan kredit di seluruh Jerman. Institusi koperasi dan kesatuan kredit memainkan peranan dalam pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. 

5. Penghapusan Sistem Guild Penghapusan sistem guild juga menjadi salah satu faktor yang mendorong perkembangan industri di Jerman. Sebelum penyatuan Jerman, seseorang yang ingin terlibat dalam bidang perindustrian perlu mempunyai pengalaman dalam guild selama beberapa tahun. Ia merupakan syarat wajib. Sistem ini menjadi penghalang kepada perkembangan sektor perindustrian di Jerman. Pada tahun 1811, kerajaan bertindak menghapuskan monopoli dan keistimewaan guild melalui Peraturan 1811. Penghapusan ini telah asas bagi pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. 

6. Penghijrahan Penduduk Ke Bandar Penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar membantu perkembangan sektor perindustrian di Jerman. Sebelum penyatuan Jerman, tiga perempat daripada penduduk Jerman tinggal menetap di luar bandar. Pada tahun 1871, terdapat 8 buah bandar di Jerman dengan bilangan penduduk seramai 100 ribu orang. Selepas penyatuan Jerman, proses pembandaran berkembang dengan pesat dan membawa kemunculan bandar baharu di seluruh negara seperti di kawasan Ruhr, Saxony, Silesia, dan Berlin. Pertumbuhan bandar baharu dan peningkatan penduduk menyebabkan industri berkembang pesat di Jerman. 

7. Kekayaan Bahan Mentah Perkembangan sektor perindustrian di Jerman juga disebabkan oleh kekayaan sumber bahan mentahnya seperti arang batu, bijih besi dan bijih timah. Kawasan perlombongan arang batu dan bijih besi yang terkenal di Jerman ialah Lembah Ruhr Lorainne dan Silesia. Sumber galian ini merupakan sumber utama dalam menggerakkan sektor perindustrian di Jerman. Pada tahun 1875, Jerman mengeluarkan 25 juta tan arang batu dan telah meningkat kepada 287 juta tan pada tahun 1913. Pada tahun 1872, Jerman telah mengeksport bekalan bijih besi bernilai 1.92 juta tan ke negara Eropah. Menjelang tahun 1910, berlaku peningkatan dalam pengeluaran bijih besi sehingga mencecah 14.7 juta tan. Di samping itu, bahan kimia seperti garam kalium ditemui dalam kuantiti yang besar di Jerman. Menjelang tahun 1871, Jerman menghasilkan 375 000 tan garam kalium dan meningkat kepada 3.5 juta tan pada tahun 1901. Antara tahun 1863 hingga 1865, seramai 120 000 orang bekerja dalam industri perlombongan di Jerman dan terus meningkat kepada 570 000 orang pada tahun 1906. 

8. Kemajuan Industri Perkapalan Perkembangan pesat sektor perindustrian disebabkan oleh kemajuan dalam industri perkapalan. Industri perkapalan Jerman terletak di Breman, Hamburg, Stettin, Danzig dan Elby. Selepas tahun 1880, berlaku peningkatan yang amat ketara dalam pembinaan kapal wap di Jerman dan ini membolehkan jumlah muatan barangan yang diangkut dapat ditingkat. 

9. Kemajuan Sistem Pengangkutan Perkembangan Revolusi Perindustrian disebabkan oleh kemajuan dalam bidang komunikasi dan pengangkutan. Kerajaan membangunkan perkhidmatan kereta api untuk menggalakkan pertumbuhan industri. Bagi memajukan perkhidmatan kereta api, kerajaan mengambil langkah dengan mengurangkan kadar bayaran dan tarif perkhidmatan kereta api. Landasan kereta api dibangunkan bagi memudahkan pergerakan tentera dalam mengawal keamanan negara. Selepas tuhun 1879, kerajaan membeli landasan kereta api yang dimiliki oleh pihak swasta. 

10. Galakan Kerajaan Pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian juga disebabkan adanya galakan yang diberikan oleh kerajaan. Kerajaan Jerman mengamalkan dasar memberi perlindungan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1879. Dasar ini rnenyebabkan berlaku pertumbuhan pesat industri antara tahun 1872 hiagga 1910  dan sekali gus menyebabkan hasil pengeluaran sektor perindustrian di Jerman meningkat. Kerajaan juga menyediakan perkhidmatan kereta api yang murah bagi merangsang pertumbuhan industri. Sistem pengangkutan yang efisien menyebabkan hasil pengeluaran industri dapat dieksport ke negara-negara lain di Eropah. 

11. Penubuhan Kartel Kartel adalah sebuah persatuan yang berperanan untuk menyelaraskan pengurusan industri di Jerman seperti mengawal bekalan dan harga barangan bagi menjamin keuntungan. Anggota kartel akan mengadakan perjanjian bagi menentukan harga barangan yang dipasarkan. Pertubuhan ini memainkan peranan penting dalam mengawal pasaran dan kewangan industri Jerman. 

12. Kemunculan Bank Kemunculan institusi perbankan memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan sektor perindustrian di Jerman. Kerajaan menubuhkan bank dengan menyediakan pinjaman jangka panjang bagi merangsang pertumbuhan sektor perindustrian di Jerman. Menjelang pertengahan abad ke-19, Joint Stock Bank ditubuhkan di Jerman dengan memberikan bantuan modal kepada pengusaha-pengusaha industri. Sistem perbankan di Jerman dikawal oleh gabungan empat buah bank utama yang terdiri daripada Disconta Geseilsehaft of Stuttgart (1851); Deutsche Bank (1870); Darmstadter Bank (1870); dan Dresdener Bank (1872). Bank-bank ini berperanan menggalakkan penggabungan perniagaan; memberikan bantuan modal kepada pengusaha industri; menggalakkan pertumbuhan industri perlombongan; dan membangunkan sistem pengangkutan darat dan laut.

No comments:

Post a Comment